Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Sempena sambutan Hari Keluarga Mukim Mentiri, satu Majlis Membaca Yasin dan Tahlil telah diadakan di Kubah Makam Diraja sebagai usaha mempererat ukhuwah dalam kalangan keluarga.
Majlis dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, selaku tetamu kehormat.
Acara dikendalikan secara bersama oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Mentiri, terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung di bawah tadahan Mukim Mentiri.
Turut hadir serta mempengerusikan majlis ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri merangkap Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad.
Bacaan Yasin dan Tahlil telah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau, Awang Muhd Saifullah bin Haji Rosli.
Antara yang turut hadir memeriahkan majlis ialah ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Mukim Mentiri, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau, serta para penduduk RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri.
Majlis tersebut merupakan salah satu inisiatif yang mencerminkan semangat keagamaan dan kebersamaan masyarakat, selain memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan penduduk mukim.