Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Nikmat keberkatan akan semakin dirasakan apabila dimanfaatkan ke arah kebaikan serta digunakan ke jalan yang diredai Allah dan tanpa keberkatan rezeki yang banyak sekalipun manusia tidak akan merasa cukup dan puas.
Untuk menggapai rezeki dan ganjaran dalam kehidupan, seseorang itu perlulah berusaha untuk bekerja dengan gigih dan bersungguh-sungguh, selain memiliki ilmu dan kemahiran sesuai dengan bidang pekerjaan.
Di samping itu, seseorang itu juga mestilah tidak mudah berputus asa dengan bangkit semula jika ditimpa kegagalan atau ujian dan yang penting, apa sahaja bidang pekerjaan yang diceburi sama ada berkhidmat dengan kerajaan, swasta, perniagaan, pekerja dan sebagainya hendaklah dipastikan rezeki yang didapati itu benar-benar halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum syarak.
Khatib menegaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini, bertajuk Kunci Pembuka Pintu Rezeki dan seterusnya menekankan bahawa cukup atau tidak rezeki diterima bukan diukur dengan kuantiti semata-mata, tetapi yang penting adalah keberkatan.
“Berusaha untuk mencari rezeki yang halal adalah diwajibkan oleh syarak, namun ada di antara kita yang berasa gelisah kerana tidak mendapat rezeki yang mencukupi bagi keperluan hidup, walau telah berusaha bersungguh-sungguh,” jelas khatib.
Secara zahir, jelas khatib, kunci meraih rezeki yang luas dan berkat juga berkait rapat bagaimana hubungan seseorang hamba dengan Allah.
“Kita diperintahkan bukan sahaja setakat memakan rezeki yang halal dan baik, tetapi juga menjaga hubungan dengan Allah dengan ketaatan, kepatuhan dan kehambaan yang berterusan,” tegasnya.
Khatib dalam khutbah seterusnya mengongsikan panduan bagi memperoleh rezeki yang luas dan berkat ada digariskan dalam Al-Quran dan hadith Baginda Rasulullah SAW, antaranya bertakwa kepada Allah iaitu dengan mentaati segala perintah dan meninggalkan yang dilarangNya.
“Mereka yang bertakwa dijanjikan oleh Allah dengan limpahan rezeki, malah Allah mengurniakan jalan keluar dari segala kesusahan,” kongsinya.
Selain itu, bertaubat dan beristighfar iaitu bertaubat untuk meninggalkan perbuatan dosa dan berasa menyesal setelah melakukan serta berazam bagi tidak mengulanginya lagi.
Katanya lagi, “Di dalam Al-Quran ada menyebutkan, bertaubat dan beristighfar adalah antara sebab diperluaskan rezeki.”
Di samping itu, bertawakal iaitu berserah diri kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya. Jika seseorang itu benar-benar bertawakal kepada Allah dengan keyakinan Allah yang melakukan semua dan tiada yang memberi rezeki melainkan Allah dan tiada yang berkuasa menghalang melainkan Allah juga selain berusaha bersungguh-sungguh, akan dilimpahkan rezeki kepadanya seperti mana rezeki yang dilimpahkan kepada burung.
Khatib seterusnya menambah, menghubungkan silaturahim juga adalah antara sebab diluaskan rezeki, di samping memperbanyakkan sedekah, kerana sedekah adalah satu amalan yang ajaib yang mana semakin bersedekah, semakin Allah tambahkan lagi rezeki kepadanya, tetapi bersedekah itu hendaklah dengan niat kerana Allah.
Rezeki yang diperoleh, tegas khatib, adalah milik Allah dan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang berhak mengurniakan rezeki kepada setiap yang dikehendakiNya.
“Apa yang penting dalam mencari rezeki adalah membetulkan niat bekerja kerana Allah dan untuk mencukupkan keperluan diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungan serta digunakan ke jalan yang diredai Allah,” tambahnya.
Khatib dalam khutbah seterusnya menekankan, kita dilarang menyalahkan takdir jika rezeki yang dihajati masih belum diperoleh, sedangkan telah banyak berdoa dan amalan yang sudah dilakukan.
Ini kerana, tegas khatib, ada kalanya Allah tidak mengurniakan sesuatu yang diminta tetapi dia mengurniakan sesuatu yang diperlukan.
“Kita wajib meyakini setiap kita mempunyai bentuk rezeki yang berbeza-beza, Allah sahaja yang mengetahui hikmat dan sebab di sebalik setiap pemberian,” tegasnya.
Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama berdoa semoga kita semua dikurniakan rezeki yang mencukupi dan berkat, kuatkan tekad dan tawakal sambil berusaha tanpa putus asa supaya tergolong dalam hamba yang sentiasa bersyukur dan reda atas setiap anugerah dan pemberianNya.