Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertanam saham di akhirat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TUTONG, 30 APRIL – Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong telah mengadakan forum bertajuk Meraih Istana Syurga di Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong pagi tadi.

    Forum itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan jemaah masjid supaya bertanam saham di akhirat dengan menyumbangkan derma ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Masjid Kampung Penanjong, Awang Dilla Aiyad Kasyidi bin Ahmadi.

    Sementara itu, forum dikendalikan oleh Pegawai Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, Awang Abdul Hadi bin Abdul Rahman selaku moderator forum, manakala ahli-ahli panel terdiri daripada Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

    Acara juga dimuatkan dengan penerangan peraturan kewangan untuk peletakan tabung, pembukaan tabung, pengiraan duit, penghantaran duit ke bank dan penghantaran laporan ke Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam serta diselajurkan dengan sesi praktikal menderma menggunakan kod QR.

    Forum berkenaan antara lain bertujuan memberi pengetahuan dan kemudahan kepada jemaah masjid mengenai cara-cara menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam serta cara berinfak selain daripada tabung yang dikhususkan.

    Di samping itu, ia juga untuk menyuntik motivasi mereka supaya terus berbakti kepada agama melalui sumbangan derma sebagai salah satu wadah penyebaran dan pengukuhan syiar agama.

    Awang Mohammad Sofian hadir pada forum yang diadakan di Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda