Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Negara Brunei Darussalam mempunyai banyak kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan salah satunya ialah kemudahan jalan raya yang menjadi penghubung dari satu kawasan ke kawasan yang lain, termasuklah jambatan-jambatan.
Orang ramai sebagai pengguna kemudahan ini, mestilah sama-sama bertanggungjawab dalam memelihara kemudahan tersebut agar sentiasa dijaga dan selamat digunakan, tekan khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini,
Menurutnya lagi, antara usaha kerajaan dalam memastikan dan memelihara keselamatan pengguna jalan raya ialah dengan menubuhkan Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertanggungjawab bagi memastikan dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya serta berusaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna-pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, bagi mengurangkan kesan kemalangan jalan raya, beberapa usaha dilaksanakan seperti mengadakan sekatan-sekatan jalan raya bagi memastikan pengguna lebih peka terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan di jalan raya.
Khatib seterusnya menegaskan, perlu diingat perkara yang dianggap remeh atau dianggap sebagai kesalahan kecil seperti tayar botak, memandu tanpa lesen, lampu tidak menyala, brek kurang berfungsi, mengubah usai kenderaan tanpa kebenaran dan seumpamanya boleh mengundang kecelakaan dan membawa maut.
Dalam menjaga keselamatan di jalan raya, tambah khatib, perlunya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya di mana sahaja mereka berada sama ada di dalam negara atau di luar negara di samping berusaha untuk menyelesaikan saman-saman yang telah dikenakan.
Katanya lagi, “Kita bertanggungjawab untuk menjelaskan kesemua denda kepada pihak tertentu sama ada di dalam negara atau di luar negara.”
Mematuhi peraturan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan sebagai pengguna jalan raya diingatkan untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati dan bertolak-ansur di jalan raya, tambahnya.
Sehubungan itu, khatib seterusnya mengingatkan untuk sentiasa berhati-hatilah menjaga keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya kerana ia tanggungjawab bersama dan jangan disebabkan kelalaian dan kesilapan kita akan membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain, apa tah lagi sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.