Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertarung hidup di lautan

    Ulasan buku oleh Raz AS

    BUKU 438 Days adalah sebuah buku yang mencatatkan kisah sebenar seorang lelaki yang terselamat setelah hanyut sendirian di lautan lepas lebih lama daripada sesiapa sahaja dirakamkan dalam sejarah. Buku ini dihasilkan oleh jurnalis, Jonathan Franklin, berdasarkan puluhan temu ramah eksklusif.

    Pada 17 November, 2012, Salvador Alvarenga telah meninggalkan pantai Mexico dengan tujuan untuk pergi memancing selama dua hari. Tetapi badai yang menimpa telah merosakkan enjin perahunya dan bot beliau dihanyutkan arus ke lautan lepas. Apabila perahu beliau terdampar pada 9 Januari, 2014, beliau telah sampai ke kepulauan Marshall di mana jaraknya adalah kira-kira 9,000 batu daripada tempat asalnya, bersamaan dengan jarak antara bandar New York dengan Moscow.

    Untuk 14 bulan, Alvarenga telah terselamat daripada serangan-serangan jerung. Beliau telah belajar cara-cara menangkap ikan menggunakan tangan kosong, botol-botol plastik dan membuat mata kail besar menggunakan besi-besi enjinnya. Beliau juga belajar menjahit pakaian sendiri menggunakan tulang ikan sebagai jarum menjahit.

    Ada seketika masa, Alvarenga berfikir untuk menamatkan riwayatnya termasuk menjadi makanan jerung. Namun hasratnya itu sering kali terbantut apabila beliau tetap sahaja menemui jalan untuk meneruskan kehidupan, cukup lama untuk perahunya terdampar di sebuah pulau terpencil di mana beliau diselamatkan oleh penghuni pulau itu.

    Berdasarkan temu ramah bersama Alvarenga dan sahabat handai, pasukan penyelamat, medik dan penghuni pulau yang menemuinya, ini adalah sebuah kisah survival epik dan versi alam nyata kepada karya fiksyen Life of Pi. Diisikan bersama ilustrasi, peta dan fotograf, 438 Days adalah sebuah buku mengenai semangat dan ketahanan seorang lelaki yang menempuh dugaan berat untuk meneruskan kehidupan.

    438 Days adalah sebuah buku mengenai semangat dan ketahanan seorang lelaki yang menempuh dugaan berat untuk meneruskan kehidupan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda