(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
MENDIRIKAN sembahyang adalah antara sebaik-baik jalan untuk meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala selain sifat sabar. Ini kerana dalam sembahyang itu terkumpul berbagai-bagai bentuk ibadah rohani dan jasmani; iaitu kebersihan, menutup aurat, menghadap qiblat, ikhlas, membaca al-Qur’an, mengucap syahadah, salawat ke atas Nabi Sallallahu alaihi Wasallam dan banyak lagi.
Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah), dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah: 45)
Adapun sembahyang yang sunat dikerjakan apabila hendak meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala atau meminta dikabulkan sesuatu hajat adalah sembahyang Hajat. Apakah dia sembahyang Hajat itu?
Sembahyang Hajat ialah sembahyang sunat yang didirikan jika ingin memohon suatu hajat yang dibenarkan oleh syara‘ (bukan perkara maksiat) kepada Allah Ta‘ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia.
Sembahyang Hajat tidak terikat dengan waktu. Ia boleh dikerjakan apabila diperlukan pada bila-bila masa sama ada siang ataupun malam asalkan bukan pada waktu-waktu karahah (waktu-waktu yang ditegah untuk mendirikan sembahyang sunat).
Maka jika dikehendaki sesuatu hajat daripada Allah Ta’ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia, sama ada hajat itu mustahak ataupun tidak, sama ada perkara itu berkaitan dengan agama ataupun urusan keduniaan, maka dirikanlah sembahyang ini dengan menyempurnakan wudhu’ dan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunatnya.
Sembahyang Hajat dikerjakan sebanyak dua raka‘at, dan ada pula para ulama yang mengerjakannya sehingga dua belas raka‘at sekaligus dengan satu salam, iaitu dengan cara bertasyahhud di setiap dua raka‘at atau melakukannya dengan enam kali salam (dua-dua raka‘at).
Mengerjakannya secara dua-dua raka‘at ini adalah lebih afdhal berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua raka‘at.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Sembahyang hajat sunat didirikan secara bersendirian. Bagaimanapun, tidak makruh yakni harus mendirikannya secara berjemaah.
Kaifiatnya
1) Niat sembahyang Hajat :
‘U-shol-lii sun-na-tal haa-ja ti rok-‘a-tai-ni lil-laa-hi ta-‘aa-laa.’
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Hajat dua raka‘at kerana Allah Ta‘ala.
Jika menjadi imam ditambah dengan perkataan, ertinya “menjadi imam”, sementara jika menjadi makmum ditambah dengan perkataan, ertinya “menjadi makmum”.
2) Surah-surah yang sunat dibaca:
Selepas membaca surah al-Fatihah, dibaca surah al-Kaafirun sekali manakala pada rakaat kedua selepas surah al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlas sekali.
Sebilangan ulama pula mengamalkan membaca surah al-Kautsar pada rakaat pertama enam kali dan surah al-Kaafirun enam kali selepas membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua.
Menurut sebahagian ulama, makruh membaca surah al-Fatihah dan surah-surah selepasnya dengan bacaan jahar (suara yang kuat), tidak kira siang ataupun malam. Akan tetapi tidak makruh jika dinyaringkan bacaannya kerana mengajar makmum akan bacaan-bacaan sembahyang.
Ada juga pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah yang mengatakan bahawa sunat imam mengangkat suara sedikit, iaitu dalam kadar di antara bacaan israr dan jahar (pertengahan) jika sembahyang Hajat itu dikerjakan di waktu malam dengan syarat tidak mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Jika perbuatannya itu boleh mengganggu maka sunat membacanya dengan israr (suara yang perlahan).
3. Doanya:
Selepas memberi salam dan membaca wirid, dibaca doa dengan dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta bersalawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam kemudian dibaca doa berikut yang bererti, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Bertimbang rasa lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah yang memiliki ‘Arasy yang Agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Aku memohon kepada-Mu akan segala yang menyebabkan aku memperoleh rahmat-Mu dan segala yang menyebabkan aku memperolehi pengampunan-Mu dan terpelihara daripada segala dosa dan beroleh segala kebajikan serta selamat daripada segala dosa.
Janganlah Engkau tinggalkan bagiku suatu dosa melainkan Engkau mengampunkannya, dan tiada suatu kerungsingan melainkan Engkau memberikan kelapangan daripadanya, dan tiada suatu keperluan yang Engkau redhai melainkan Engkau tunaikannya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihani.
Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadapkan wajahku kepada-Mu dengan perantaraan Nabi-Mu Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam, Nabi rahmat! Wahai Nabi Muhammad, sesungguhnya aku menghadapkan wajahku melalui Tuan kepada Tuhanku bagi menunaikan hajatku (keperluanku) ini agar hajatku ini diperkenankan kepadaku. Ya Allah! Kurniakanlah syafaatnya (Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam) di dalam permohonanku.”
Imam an-Nawawi Rahimahullah turut menambah bahawa adalah digalakkan juga untuk dibaca doa ketika ditimpa kesusahan yang berikut ini yang membawa erti : “Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami daripada siksa api neraka.”
Kaifiat mengerjakan sembahyang hajat dua belas raka‘at
Imam al-Ghazali Rahimahullah menerangkan kaifiat mengerjakan sembahyang Hajat dua belas rakaat dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin, beliau berkata: Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Wuhaib bin al-Wardi Rahimahullah, beliau berkata: Sesungguhnya antara doa yang tidak ditolak itu ialah bersembahyang seorang hamba sebanyak dua belas rakaat, di mana dia membaca Umm al-Kitab (surah al-Fatihah), ayat al-Kursi dan surah al-Ikhlas pada tiap rakaat.
Apabila telah selesai bersembahyang, dibaca doa ini yang membawa erti : “Maha suci Tuhan yang berpakaian dengan pakaian kemuliaan dan menentukan dengannya. Maha suci Tuhan yang berkasih sayang dengan kemuliaan-Nya dan bermurah dengannya. Maha suci Tuhan yang menghitung segala sesuatu dengan ilmu-Nya. Maha suci Tuhan yang tiada yang berhak bertasbih melainkan kepada-Nya.
Maha suci Tuhan yang memiliki kurniaan dan anugerah. Maha suci Tuhan yang memiliki kemuliaan dan kemurahan. Maha suci Tuhan yang memiliki kekuasaan. Aku memohon kepada-Mu dengan daerah-daerah kemuliaan daripada ‘Arasy-Mu, dan kemuncak rahmat daripada Kitab-Mu, dan dengan nama-Mu yang Agung dan kemuliaan-Mu yang Tinggi, dan kalimat-kalimat-Mu yang sempurna dan meliputi segala, yang tidak dapat dilampaui oleh orang yang baik ataupun jahat. Bahawa Engkau limpahkan salawat atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan kaum keluarganya”.
Kemudian dia pohonkan hajat yang tidak mengandungi sebarang maksiat padanya, maka Insya Allah hajatnya itu akan dikabulkan.
Wuhaib Rahimahullah berkata: Telah dikhabarkan kepada kami bahawa telah dikatakan: Jangan kamu ajarkan kaifiat ini kepada orang-orang yang bodoh agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan memohon pertolongan dengannya atas perkara maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.
Amalan ini bersumber daripada sebuah hadis riwayat Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu yang dikeluarkan dalam Musnad al-Firdaus yang mana tarafnya adalah sangat dhaif. Bagaimanapun, Imam al-Hafiz Rahimahullah berkata sepertimana yang dinukilkan dalam kitab at-Targhib wa at-Tarhib: Berpegang dengan amalan ini hendaklah atas dasar percubaan (amalan) para ulama, bukannya atas dasar hadisnya (yang sangat dhaif itu).
Bertaubat sebelum sembahyang hajat
Antara syarat doa dan permohonan yang dikabulkan itu ialah bebas daripada dosa, maka sesiapa yang memohon sesuatu kepada Allah sedangkan dia mempunyai satu dosa yang dia belum lagi bertaubat daripadanya maka permintaannya itu adalah lebih cenderung untuk ditolak.
Ali al-Khawwas Rahimahullah berkata: Sembahyang sunat Tasbih perlu dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang sunat Hajat, ini sepertimana yang dikhabarkan bahawa sembahyang sunat Tasbih itu menghilangkan semua dosa. Selalunya, dosa-dosa itu adalah penyebab suatu hajat yang dipohonkan itu lambat dikabulkan.
Diriwayatkan juga bahawa Ali al-Bujairi Rahimahullah apabila diminta oleh seseorang untuk mendoakannya, dia terlebih dahulu akan berkata kepada mereka: Bacalah oleh kamu : “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada Tuhan selain Dia, yang Hidup dan berdiri sendiri serta aku bertaubat kepada-Nya daripada segala dosa.”
Kemudian barulah dia mendoakan mereka. Lalu dia pun berkata: Wahai anak-anakku, bagaimanakah seorang hamba itu memohon suatu hajat daripada Tuhannya sedangkan Tuhannya sedang murka kepadanya kerana maksiat yang dilakukannya? Jika dia telah bertaubat daripada dosanya itu, maka barulah ada kemungkinan doanya itu akan dimakbulkan.
Berdasarkan kata-kata ulama ini, maka sayugianyalah seseorang itu muhasabah diri dengan bertaubat dan memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukannya sebelum mendirikan sembahyang Hajat supaya permohonannya yang baik itu dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.