Bertekad jadi belia wawasan negara berguna

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kalangan peserta yang menjayakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kelmarin bukan saja disertai oleh anggota beruniform, persatuan-persatuan dan sektor swasta namun juga melibatkan para pelajar yang bakal menjadi pelapis dan peneraju masa depan negara.

Semasa perbarisan kelmarin, wartawan Media Permata sempat menemu bual seorang penuntut Tahun 5 dari Sekolah Rendah Lambak Kanan yang mengikuti latihan padang selama 11 hari iaitu Awangku Mohd Syahmi Rezki bin Pengiran Haji Mohd Sapiudin yang berkongsi keterujaannya semasa perbarisan tersebut.

Awangku Mohd Syahmi Rezki meluahkan rasa terharu dan beruntung kerana terpilih untuk mewakili sekolah beliau dan berbangga apabila cita-citanya tercapai tahun ini seperti abangnya yang pernah terlibat dalam acara perbarisan.

Menurutnya lagi, rasa semangat muncul ketika menyaksikan kelibat abangnya yang merupakan seorang anggota Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) pengambilan ke-7 beraksi di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien ketika menjayakan Hari Kebangsaan ke-34 pada tahun 2018 dan sejak itu dia memasang cita-cita untuk mengikut jejak langkah abangnya.

Cita-cita seorang anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal ini akhirnya tercapai tahun ini dan berazam untuk menanamkan sikap kesetiaan kepada negara, raja, agama, bangsa dan keluarga. Beliau juga bertekad untuk belajar lebih gigih agar beliau akan menjadi belia wawasan negara yang baik dan berguna.

Awangku Mohd Syahmi Rezki kelihatan bersemangat ketika ditemu bual mengenai penglibatannya dalam upacara perbarisan tersebut.