KUALA LUMPUR, 25 Okt – Menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di antara Terengganu FC menentang Perak di Stadium Shah Alam, Selangor, pada Sabtu ini, kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang sama rata untuk merangkul kejuaraan edisi ke-92 itu.
Terengganu FC yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti memiliki sedikit kelebihan berdasarkan statistik penyudah berbanding finalis, Perak, dengan 27 jaringan dalam 10 perlawanan. Sudah pasti penyerang sensasi ‘The Turtles’ dengan tujuh gol, Tchetche Kipre yang berasal dari Ivory Coast bersama seorang lagi penyerang prolifik dari Huddersfield, United Kingdom, Lee Andrew Tuck menjadi sandaran Irfan untuk merobek gawang Perak yang dikawal oleh penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Tetapi ada sesuatu yang perlu digusarkan oleh jurulatih berusia 67 tahun itu apabila barisan pertahanan yang dimilikinya tidaklah sehebat jentera serangannya.
Barisan pertahanan Terengganu FC yang diketuai oleh pemain dari Montenegro, Igor Zonjic mencatatkan dua gol bolos secara purata bagi setiap perlawanan yang pasti akan merisaukan peminat setia pasukan dari Pantai Timur itu.
Sementara itu, bagi pasukan yang diberi gelaran ‘The Bos Gaurus’, mereka pasti ingin menambah koleksi kejuaraan setelah menjuarai sebanyak tujuh edisi sebelum ini yang mana kali terakhir dimenangi pada 2000 dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di venue yang sama pada aksi final Sabtu ini.
Seperti Terengganu FC, jentera serangan Perak juga tidak kurang hebatnya dengan kelibat penyerang dari Brazil, Gilmar Jose da Silva yang telah merekodkan tujuh jaringan sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung. Barisan pertahanan Perak pula dilihat lebih ampuh di mana mereka hanya dibolosi secara purata 1.1 jaringan sepanjang perjalanan menuju ke aksi final.
Aura pengendali pasukan yang berpangkalan di Ipoh itu, Mehmet Durakovic, yang membawa Selangor ke pentas final Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2015 dan 2016 pasti menjadi azimat terbaik dalam beliau membimbing anak buahnya untuk mencapai keputusan yang positif di Shah Alam nanti.
Untuk rekod, pada edisi lepas, skuad ‘Kejor Yop Kejor’ ditunjukkan jalan keluar oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) setelas tumpas dengan agregat 1-4 dalam peringkat separuh akhir dan inilah masa yang tepat buat Perak kembali bangkit. – Bernama