KUCHING, 3 JAN – Setiap individu khususnya ketika melalui zaman muda pasti mendambakan pasangan atau teman untuk hidup bersama hingga ke akhir hayat, namun Molly Teo Siok Khim, 81, akur dengan ketentuan-Nya untuk bertemu jodoh pada usia senja.
Pertemuan wanita itu dengan Richard Wong Yuan Chang, 66, pada tahun lepas sewaktu masing-masing menghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching telah memutik rasa sayang, tambahan pula personaliti mereka berdua ibarat ‘dulang dengan tudung saji’, saling melengkapi antara satu sama lain.
“Richard yang memulakan langkah dahulu untuk kenal saya,” kata wanita itu yang tersenyum sambil memandang Richard yang tersipu-sipu malu.
Semalam, Wong dan Teo disatukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengarah JPN Sarawak Mahathir Bujang.
Sebelum ini, Wong pernah berkahwin dengan seorang penghuni pusat warga emas berkenaan namun isterinya telah meninggal dunia atas faktor kesihatan.
Tampil dengan solekan ringkas dan berbaju ceongsam rona merah di hari istimewanya, Teo yang telah menghuni pusat warga emas itu sejak 2005 berkata persamaan agama menjadi antara faktor utama keserasian mereka.
Teo berkata perwatakan Wong yang baik dan lemah lembut berjaya menambat hati serta menerima lamaran lelaki itu untuk menghabiskan sisa hidup bersama. – Bernama