Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bertemu orang meninggal

    Oleh Nor –

    Peristiwa seram ini berlaku 10 tahun yang lalu. Waktu itu saya masih bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama penuh di bandar. Cuti sekolah penggal ketiga sudah pun bermula. Kesempatan ini digunakan untuk pulang ke kampung menemui keluarga tersayang. Oleh kerana saya jarang pulang ke kampung, banyak hal yang berlaku di kampung tidak saya ketahui. Saya bertolak dengan menaiki sebuah kereta sewa pada waktu tengah hari dan kira-kira pukul 3 petang barulah saya sampai di kawasan kampung.

    Kereta sewa itu tidak dapat melalui jalan untuk sampai ke rumah kerana jalannya sempit dan becak. Lagipula, rumah saya terletak di hujung sekali. Saya terpaksa meneruskan perjalanan itu dengan berjalan kaki. Di dalam perjalanan saya terserempak dengan kawan lama sekampung saya,Ida.

    Kami berhenti dan duduk berbual-bual di sebuah banglo lama tempat anak-anak muda kampung selalu lepak berdekatan dengan simpang jalan menuju ke rumah saya. Tanpa disedari, jam menunjukkan hampir enam petang. Aku meminta diri untuk pulang dari Ida dan berjanji untuk berjumpa di surau malam itu. Hanya selang lima rumah lagi aku akan tiba di rumah. Tiba-tiba kelihatan seorang perempuan memakai jubah dan tudung yang serba hitam. Saya mengenali perempuan itu lantas dengan ramah menyapanya.

    “Kan ke mana kita, bungsunya?” Saya memanggilnya Bungsu kerana dia ialah anak bungsu kepada bapa saudara ayah saya. Dia hanya tersenyum dan menudingkan jarinya ke arah surau yang tidak jauh di hadapan. Saya merasa hairan kerana dia pergi ke surau begitu awal sedangkan belum azan tetapi saya tetap meneruskan perjalanan kerana perasaan rindu yang semakin kuat terhadap keluarga. Sesampai saja di rumah, saya memberi salam dan kemudian bersalam dengan ayah, ibu serta adik beradik saya yang lain.

    Ayah dan ibu menyuruh saya dan adik-beradik yang lain untuk bersiap kerana kami semua hendak pergi ke surau untuk berjemaah sembahyang Magrib bersama-sama. Saya masuk ke bilik dan kemudian disusuli oleh kakak yang ingin meluruskan telekungnya di hadapan cermin. Saya duduk sebentar di atas katil untuk menghilangkan rasa penat.

    “Lepas dari surau karang, kitani terus ke rumah Bungsu Adam. Ada makan 40 hari, bininya meninggal,” kata kakak. Aku tergamam sebentar kemudian bertanya. “Bungsu Limahkah?”

    Kakak menganggukkan kepala kemudian terus keluar dari bilik. Selesai sahaja majlis bertahlil di rumah Bungsu Adam, kami terus pulang ke rumah. Sesampai di rumah, saya menceritakan peristiwa petang tadi kepada ibu dan ayah. Mereka beristighfar panjang.

    Rupa-rupanya Allahyarhamah Bungsu Limah meninggal dunia sebulan yang lalu.

    Memang tak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu, seram sejuk rasanya. Saya tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi kerana masih terbayang akan wajahnya. Cuti yang sepatutnya meninggalkan kenangan manis tiba-tiba bertukar kepada ketakutan. Walaupun 10 tahun berlalu, ia masih tetap segar di ingatan saya.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...