PATTANI, 6 OGOS – “Irfan, ini adalah ibu,” ungkapan pertama seorang ibu apabila dapat memangku anak bongsunya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla hari ini.
Dengan linangan air mata, ibu muda Nurhalisa Jehawee, 18, mendukung anak damit lelaki berusia lima bulan yang terpisah susulan penularan pandemik COVID-19 sekali gus menyebabkan penutupan sempadan Malaysia-Thailand.
“Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak saya buat kali pertama selepas lima bulan. Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami.
Irfan dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang pada 27 Februari lepas, namun terpaksa meninggalkan Irfan yang ketika itu di bawah pemantauan doktor, untuk memperbaharui visanya dan suami yang tamat tempoh pada 18 Mac lepas.
Susulan COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk mengambil anak bongsu mereka di Hospital Kajang. – Bernama
