Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertutur bahasa Inggeris pelat British bukan bongkak

    Pelakon remaja, Puteri Balqis, 17, tidak menganggap individu yang gemar bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bongkak, sebaliknya menyifatkannya sebagai proses pendidikan, lapor BH Online.

    Puteri Balqis yang mesra disapa dengan panggilan Aqish berkata banyak perkara memerlukan penguasaan bahasa Inggeris seperti mencari pekerjaan atau melancong ke luar negara.

    Justeru, Aqish bersyukur apabila klip video memaparkan dirinya bertutur dalam bahasa Inggeris pelat British tular di media sosial sehingga dapat pujian dan menjadi inspirasi ramai, baru-baru ini.

    “Saya bersyukur sebab sesetengah orang berpandangan sesiapa yang bercakap dalam bahasa Inggeris ini bongkak, tapi sebenarnya tidak, ia adalah pendidikan.

    “Pendidikan juga sangat penting bagi saya. Banyak kerja yang ingin dicapai perlu bertutur dalam bahasa Inggeris. Takkan pergi Sepanyol hendak cakap Melayu,” katanya ditemui pada sidang media drama terbaharu berjudul Terlanjur Cinta siaran platform penstriman, Viu di The Agam, Sungai Penchala, semalam.

    Aqish menjelaskan, dia mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa perantara dunia disebabkan ibunya, Norashikin Mohd Aziz banyak membantu dan memberi tunjuk ajar semasa kecil.

    “Memang saya berulang kali belajar topik dalam Inggeris sejak kecil. Ibu mahukan saya ada pendidikan, minta saya tulis satu perkataan sahaja di setiap helaian buku.

    “Dia juga beri kebenaran untuk saya conteng dinding dengan perkataan Inggeris. Memang sukar, tapi ia sangat berbaloi dan saya masih belajar,” katanya.

    Ditanya bagaimana mampu bertutur dalam bahasa Inggeris pelat British dengan baik, Aqish memberitahu dia hanya belajar sendiri dan dikelilingi rakan-rakan berbangsa asing. – Agensi

    Aqish bersyukur klip video memaparkannya bertutur dalam bahasa Inggeris pelat British tular sehingga dapat pujian dan inspirasi ramai. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda