TOKYO, 2 DIS – Seekor beruang yang mengamuk selama dua hari di sebuah pasar raya di Jepun telah berjaya dipancing keluar menggunakan makanan yang disalut madu sebelum ditangkap dan dijadualkan untuk dibunuh hari ini, menurut pegawai tempatan.
Jepun kini menghadapi peningkatan masalah serangan beruang, dengan rekod enam kematian manusia dilaporkan akibat serangan haiwan itu, manakala lebih 9,000 ekor beruang dibunuh pada tahun fiskal sebelumnya.
Dalam kejadian terbaharu, polis telah menerima panggilan kecemasan Sabtu lalu yang melaporkan tentang seekor beruang telah mencederakan seorang lelaki berusia 47 tahun di sebuah pasar raya di Akita, pulau utama Honshu, Jepun.
“Kecederaan di kepala lelaki itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk sembuh selepas jahitan dibuka,” kata jurucakap polis kepada AFP.
Pasar raya tersebut segera dikosongkan, sementara haiwan itu dibiarkan di dalam premis, di mana ia dilaporkan merosakkan daging yang terdapat pasar raya itu, menurut laporan akhbar Asahi Shimbun.
“Walau bagaimanapun, beruang itu akhirnya berjaya masuk ke dalam perangkap yang mengandungi bijian beras, pisang, epal dan roti, semuanya disalut dengan madu,” kata seorang pegawai di Akita kepada AFP.
“Kami menyediakan dua perangkap, dan salah satu daripadanya berjaya menangkap beruang itu di bahagian belakang pasar raya,” katanya. – AFP