BAGHDAD, 8 OGOS – Perdana Menteri Iraq telah mengarahkan siasatan dilancarkan mengenai bagaimana seekor beruang terlepas dari peti dalam kargo pesawat Iraq ketika ia dijadual berlepas dari lapangan terbang Dubai, menimbulkan kemarahan penumpang akibat kelewatan dan mencetuskan kekecohan di media sosial.
Iraqi Airways berkata ia tidak boleh dipersalahkan kerana beruang itu terlepas dan kru pesawat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu, yang menghantar pakar untuk menenangkan haiwan tersebut dan mengeluarkannya dari pesawat.
Klip video yang tular di media sosial menunjukkan juruterbang pesawat itu memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan pada Jumaat kerana beruang itu melarikan diri dari petinya di tempat muatan kargo.
Iraqi Airways berkata pada Sabtu bahawa prosedur untuk menghantar beruang itu dijalankan mengikut undang-undang dan dengan prosedur dan piawaian yang diluluskan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). – AP


