Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beruntung hadiri Istiadat Perarakan Jubli Emas

    Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Peluang menyaksikan Istiadat Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta merupakan sesuatu yang sangat berharga lebih-lebih lagi setelah berkesempatan menyaksikan Sambutan Jubli Perak, 25 tahun yang lalu.

    Haji Zainal Abidin bin Awang Bongsu adalah antara yang sangat bertuah berpeluang menyaksikan dua acara bersejarah berkenaan.

    Semasa ditemui, Haji Zainal Abidin, 67, berkata bahawa beliau bersama keluarganya telah berada di ibu negara sejak awal pagi lagi semata-mata untuk menyaksikan istiadat perarakan berkenaan.

    Katanya, semasa Sambutan Jubli Perak 25 tahun yang lalu, beliau masih bertugas sebagai seorang guru dan sambutan istiadat perarakan hampir sama kemeriahannya tetapi kali ini beliau berpeluang membawa bersama keluarga.

    “Saya juga bersyukur kerana selama 50 tahun kepimpinan Baginda Sultan, saya sebagai rakyat melihat kebaikan limpah kurnia dari Allah Subhanahu Wata`ala mempunyai raja yang menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat sehingga ke hari ini.

    Haji Mohd Kassim semasa ditemu bual menyuarakan sejak kecil lagi jiwanya dekat kepada Baginda Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
    Haji Zainal Abidin bersama Hajah Norfah semasa ditemui Media Permata di Bandar Seri Begawan.

    “Dengan adanya keamanan negara, saya bersama isteri saya, anak saya serta generasi ketiga iaitu cucu-cucu saya menikmati hidup harmoni ditambah dengan pelbagai kurnia hidup aman damai sebagai seorang rakyat jelata,” ujarnya.

    Katanya lagi, beliau dan Hajah Norfah binti Haji Budin sebagai generasi pertama telah menikmati kesejahteraan dalam aspek pendidikan yang mana sejak sekian lama mereka menerima pendidikan percuma bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti sehinggakan pada zaman ini masih mengekalkan kebahagiaan rakyat.

    “Dalam kesempatan ini, saya ingin merafakkan ucapan syabas dan tahniah kepada Baginda Sultan kerana telah memerintah dengan begitu baik, bijak dan cemerlang. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!”

    Haji Mohd Kassim bin Abdul Latif yang berasal dari Kampung Kuala Lawas, turut menceritakan bagaimana beliau sendiri melihat Sambutan Jubli Perak Baginda Sultan Menaiki Takhta dan kini berkesempatan sekali lagi menyaksikan secara dekat istiadat perarakan bersejarah bersama cucu.

    “Walaupun saya berasal dari Kampung Kuala Lawas, Sarawak, saya sudah bermastautin di negara ini sejak dahulu lagi. Sejak kecil lagi jiwa saya kepada Baginda Sultan dan Negara Brunei Darussalam, kerana kepimpinan Baginda Sultan sangat mulia kepada rakyatnya, tambahan lagi mendengar cerita daripada datuk dan nenek mengenai seorang raja yang dikasihi dan terkenal di seluruh dunia membuat saya ingin bertemu Baginda Sultan yang telah membuktikan perkembangan terhadap Negara Brunei Darussalam selama ini,” jelasnya.

    Menyentuh mengenai pembangunan negara, seperti yang dilihat dari gambar-gambar dahulu, semua bangunan di ibu negara kecil dan jalan raya tidak rata berbanding sekarang pelbagai jenis bangunan tinggi dilengkapi teknologi moden dibina hampir di seluruh negara.

    Selain itu, kemudahan dan proses perkhidmatan juga dipertingkatkan lagi dan jalan raya bersistematik dan teratur.

    Manakala itu, Haji Ahmad Termizi bin Haji Mohd Daud, 53, yang merupakan seorang imam pula telah menyuarakan kegembiraan dan rasa syukur sebagai seorang rakyat Baginda Sultan, serta teruja meraikan hari perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta.

    “Hari ini kami anak-beranak menyaksikan dengan mata sendiri betapa meriahnya perayaan ini. Walaupun tempat letak kereta menjadi masalah tetapi Alhamdulillah ianya bukan sebagai halangan untuk menghadiri hari bersejarah ini.”

    Menyentuh mengenai pembangunan negara, beliau berkata, semenjak awal lagi sehingga sekarang, pelbagai perkembangan telah dilihat seperti pembangunan dan prasarana di Negara Brunei Darussalam yang timbul bagaikan cendawan.

    “Lebih-lebih lagi, semasa Sambutan Jubli Emas ini, jambatan baru menjadi kebanggaan di Kampong Ayer bagaikan mimpi setelah ianya wujud untuk memberi kemudahan rakyat”.

    Beliau melahirkan rasa gembira dan beruntung kerana mempunyai seorang raja yang prihatin kepada rakyat, pemeduliannya yang tidak terhingga sehinggakan perkara-perkara kecil Baginda Sultan turut melibatkan diri.

    Bercakap mengenai kemudahan, beliau memberitahu bahawa dari kecil hingga sekarang Baginda Sultan telah memberikan kemudahan dari segi pelajaran, perubatan, kemudahan dan lain-lain.

    “Kami sebagai rakyat Baginda Sultan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata`ala semoga Baginda Sultan akan kekal karar memerintah negara dengan berkonsepkan Melayu Islam Beraja,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda