Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berus didapati diperbuat daripada bulu khinzir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Berikutan aduan mengenai berus jenis Lint Remover telah dikenal pasti positif diperbuat daripada bulu khinzir dan diarahkan untuk diasingkan dari jualan di tempat awam secara serta merta.

    Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menerima aduan mengenai berus berkenaan dan telah menghantar berus berkenaan ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan untuk dianalisa.

    Pengasingan berus berkenaan adalah bertujuan untuk kemaslahatan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Syariah menasihatkan pemilik dan pengurus premis-premis perniagaan untuk mengasingkan berus berkenaan dari jualan di tempat awam.

    Dalam pada itu, para pengguna berugama Islam di negara ini adalah disaran untuk tidak membeli dan menggunakan berus tersebut.

    KHEU ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasaraya atau kedai masing-masing supaya memastikan ia adalah halal,suci dan tidak bercampur dengan produk-produk yang tidak halal.

    Ini demi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.

    Di kesempatan ini, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada orang ramai di atas maklumat berhubung perkara tersebut.

    Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat tentang penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan, maka bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal melalui talian hotline 7166222 atau hadir di mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

    Berus yang didapati diperbuat daripada bulu khinzir – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda