Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Berus jenama MANICARE diperbuat daripada bulu khinzir

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah telah mengesahkan bahawa Dry Body Brush jenama MANICARE, yang diragui statusnya dan dijual secara terbuka di salah sebuah premis perniagaan di negara ini, adalah diperbuat daripada bulu khinzir.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kementerian itu menyatakan bahawa syarikat pengeluar iaitu McPherson‘s Consumer Products Pty Ltd, Australia, telah dihubungi dan mengesahkan status berus berkenaan.

    Sehubungan itu, sebagai langkah untuk menghindarkan masyarakat Islam di negara ini menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan semua berus tersebut dengan serta merta daripada penjualan kepada orang awam.

    Bagi syarikat-syarikat dan premis perniagaan lain juga diseru untuk melakukan tindakan pengasingan dengan segera jika terdapat produk tersebut dijual di premis masing-masing.

    KHEU turut mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini, supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal.

    Ini adalah bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal atau diragui kehalalannya.

    Di samping itu, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas maklumat berhubung perkara tersebut.

    Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Dry Body Brush jenama MANICARE telah disahkan diperbuat daripada bulu binatang iaitu khinzir. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...