Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berusaha lebih gigih

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Para atlet dan pasukan kebangsaan negara adalah disarankan supaya sentiasa berusaha dengan lebih gigih dalam menjalani latihan dan tidak berhenti mencuba sehinggalah beroleh kejayaan kerana dengan adanya usaha yang tidak pernah luntur dan semangat tidak pernah menyerah kalah adalah kunci kepada kejayaan.

    Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menasihatkan para atlet dan pasukan kebangsaan negara ketika bersabda pada Mesyuarat Post-Mortem Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas

    Duli Yang Teramat Mulia pada masa yang sama turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan memperoleh dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa pada temasya Sukan SEA ke-30 yang lepas, yang mana ianya merupakan satu pencapaian terbaik negara dalam penyertaan Sukan SEA di luar Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1977 yang lalu.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dalam sabdanya memuji serta mengucapkan terima kasih kepada urus setia kontinjen dan chef de mission termasuk penolong-penolong chef de mission yang bertungkus-lumus dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan lancar menangani apa jua masalah terutama terhadap lokasi pertandingan yang berjauhan pada Sukan SEA baru-baru ini.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Majlis tersebut terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenaan menghadiri mesyuarat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Para atlet yang menghadiri majlis itu. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Dalam sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan antara lain menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia yang mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan yang amat mendalam dalam usaha untuk terus memajukan sukan di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen seramai 161 orang yang menyertai Sukan SEA ke-30 di Filipina pada bulan November hingga Disember tahun lalu.

    “Pencapaian istimewa di Sukan SEA ini amat tinggi nilainya bukan sahaja bagi para atlet dan kontinjen bahkan bagi seluruh negara. Kebanggaan ini sangatlah dirasakan lebih-lebih lagi dengan penghormatan yang diberikan melalui penghargaan tersendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah melalui titah Baginda bersempena Tahun Baharu Masihi 2020.

    “Abis hamba Duli Tuanku juga berbangga atas kegigihan chef de mission serta pihak urus setia dalam pengurusan untuk sentiasa menjaga kesejahteraan kontinjen negara dan apa yang paling penting, pencapaian kontinjen juga adalah hasil kepercayaan dan kegigihan serta semangat para atlet sendiri bagi mencapai yang terbaik untuk mengibarkan bendera negara di samping latihan yang konsisten, disiplin dan profesionalisme yang tinggi serta komitmen dalam sukan masing-masing yang sentiasa dipraktikkan sepanjang kejohanan, termasuklah komitmen para jurulatih dan persatuan,” jelas Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa mesyuarat berkenaan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menjelaskan bahawa dengan adanya mesyuarat post-mortem ini, para kontinjen akan diberikan landasan untuk terus meningkatkan kejayaan yang sudah dicapai dan sekali gus memajukan prestasi mereka secara khasnya dan sukan negara secara amnya terutamanya dalam temasya sukan yang akan datang.

    Antara agenda mesyuarat pada pagi tadi ialah persembahan laporan kontinjen ke Sukan SEA ke-30 oleh chef de mission, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani sebelum diikuti dengan sesi soal jawab bersama para atlet, jurulatih dan perwakilan persatuan yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

    Semasa Sukan SEA ke-30 yang lalu, antara acara-acara sukan yang telah disertai oleh kontinjen negara ialah akuatik, olahraga, billiards, golf, lawan pedang, bola sepak, karatedo, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, taekwondo, tenpin boling, dan wushu.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Naib Presiden II Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani selaku chef de mission ke Sukan SEA ke-30, 2019 dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Zuraimi bin Haji Abdul Sani.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda