BEKERJA di syarikat ternama dengan gaji lumayan pasti menjadi impian setiap orang.
Malah, ketika ini, penuntut lepasan kolej dan universiti pastinya giat mencari peluang pekerjaan di sana sini.
Sayangnya, kebanyakan majikan lebih cenderung mengambil individu berpengalaman hingga tiada tempat untuk mereka yang gagal memenuhi syarat itu.
Namun, jangan bimbang. Masih ada harapan untuk mereka terutama remaja yang belum mendapat pekerjaan diinginkan.
Berikut lima tip yang ingin dikongsikan kepada anda yang buntu mencari pekerjaan, siapa tahu ia membantu?
Cari di Internet
Kini semuanya ada di hujung jari cuma kita rajin atau malas saja untuk mencarinya termasuk peluang pekerjaan.
Jadi, sambil melayari Internet, apa kata curi masa sebentar untuk mencari kerja dengan menaip hashtag ‘kerja kosong’ di Facebook (FB), Instagram (IG) atau di carian Google.
Kemudian, klik dan hantar resume kepada mana-mana syarikat yang bersesuaian.
Manalah tahu, anda dipanggil untuk ditemu duga, belum cuba belum tahu.
Selak akhbar
Bunyinya agak konservatif, tetapi hakikatnya surat khabar masih relevan meskipun masyarakat kini lebih cenderung ke arah digital.
Malah, iklan kerja kosong berserta nombor untuk dihubungi juga banyak dipaparkan di dalam surat khabar. Jadi, tiada alasan untuk terus menganggur di rumah!
Pergi pameran kerjaya
Ini salah satu platform yang boleh memudahkan anda untuk mencari pekerjaan kerana semuanya ada di bawah satu bumbung.
Jadi, anda perlu peka dan tahu tarikh penganjuran pameran kerjaya di kawasan berhampiran dan luangkan masa untuk pergi bersama teman.
Kebiasaannya, pameran kerja itu berlangsung selama dua hingga tiga hari dan ada yang mengadakan terus sesi temu duga. Siapa tahu, anda bernasib baik dan diterima bekerja.
Hubungi alumni kampus
Jika sudah terlalu buntu, apa kata anda hubungi rakan atau alumni ketika di kampus dulu untuk bertanya mengenai peluang pekerjaan yang ada.
Mungkin rakan alumni anda boleh membantu mencari pekerjaan sesuai di tempat kerja mereka atau tahu ‘lubang’ kerja kosong yang ada.
Tak rugi bertanya kerana jika malu, anda juga yang rugi, bukan? Bak kata pepatah, ‘malu bertanya sesat jalan!
Hadiri temu duga ‘walk in’
Ini satu lagi cara untuk anda mendapat pekerjaan dan syaratnya adalah membawa dokumen dikehendaki dan pergi ke lokasi temu duga dengan membawa dokumen dan keperluan seperti yang diiklankan.
Temu duga ‘walk in’ biasanya diadakan bagi mengisi kekosongan jawatan baru atau menggantikan pekerja yang sudah berhenti.
Jadi, rebut peluang keemasan itu namun pastikan anda memenuhi kriteria ditetapkan.
Ingat! Hadir dengan berpakaian kemas dan buat persiapan rapi supaya anda tampil berkeyakinan ketika sesi temu duga.