Wednesday, November 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berusaha tangani ujian hidup sebaik mungkin

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cubaan, setiap manusia pasti akan menghadapi pelbagai ujian hidup yang datang dengan berbagai-bagai bentuk dan tingkat kesulitan.

    “Maka dengan itu, kita janganlah berputus asa dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT kerana Allah SWT sangat sayangkan kita selaku hambaNya, kerana itulah ujian yang ditimpakan sesuai dengan kemampuan kita.

    “Apa yang perlu kita lakukan ialah terus berusaha untuk menanganinya dengan sebaik mungkin dan seterusnya memperbaiki segala amal yang kita lakukan kerana Allah SWT,” tegas Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Fariszal bin Ali dalam tazkirahnya dari Masjid Kampung Kupang, Tutong bagi menyerikan lagi Malam Munajat ke-139 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), malam tadi.

    Hadir pada program itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara turut mengundang tetamu khas, Pemangku Yang Dipertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Haji Abdul Rajak bin Haji Mohd Dali yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Kampung Bengkurong.

    Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah ahli-ahli PERSIB, para pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR), Jabatan Pengajian Islam, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Kampung Bengkurong, Masjid Kampung Kupang, Tutong, dan Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara di samping warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri program Malam Munajat ke-139 baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda