Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berwaspada jangkitan virus

    BEIJING, 22 JAN – Sejenis virus baharu serupa Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) yang kini telah membunuh sembilan orang, menjangkiti ratusan orang dan menular sehingga ke Amerika Syarikat telah mencetuskan kebimbangan ketika pihak berkuasa bergelut untuk menangani penyebaran virus itu menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, China memberi amaran hari ini.

    Amaran juga turut dikeluarkan berikutan dengan penularan koronavirus itu, di mana di Wuhan, kawasan yang dilaporkan menjadi pusat wabak itu menular, pihak berkuasa telah membatalkan acara perhimpunan besar, menyeru pelawat untuk menjauhkan diri dari tempat berkenaan dan menggesa penduduk di sana untuk tidak meninggalkan bandar tengah China yang mempunyai penduduk sebanyak 11 juta orang.

    “Penyakit ini dipercayai berjangkit melalui saluran pernafasan dan terdapat kemungkinan mutasi virus dan penyebaran penyakit lainnya,” Naib Menteri Kesihatan Kebangsaan Li Bin memberitahu sidang akhbar di Beijing.

    Beliau menambah bahawa 1,394 orang masih di bawah pemerhatian perubatan, sementara 765 yang lain telah dibenarkan keluar hospital.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengadakan pertemuan hari ini untuk menentukan sama ada untuk mengisytiharkan perintah darurat kesihatan awam dunia yang jarang berlaku terhadap penyakit ini, yang kini dikesan di Amerika Syarikat, Taiwan, Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Macau.

    Kes pertama di Amerika Syarikat – pemastautin Seattle berusia 30an – berada dalam keadaan baik, kata pegawai Amerika.

    Penyakit ini dikatakan menular tatkala beratus-ratus juta orang sedang melakukan perjalanan menggunakan kereta api, pesawat dan bas yang penuh di seluruh China untuk berkumpul dengan kawan dan keluarga mereka bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

    Sementara itu di Sydney, ujian mendapati seorang lelaki yang disyaki menghidap penyakit seperti SARS ketika melawat China tidak mempunyai koronavirus baharu itu, kata pegawai kesihatan Australia hari ini.

    Lelaki tersebut telah dikuarantinkan secara sementara di rumahnya di Brisbane selepas pulang dari pusat bandar Wuhan selepas mengalami masalah pernafasan.

    Jurucakap Kesihatan Queensland berkata, ujian makmal menunjukkan lelaki itu tidak dijangkiti virus baharu berkenaan.

    Di Hong Kong pula, Macau hari ini melaporkan kes pertama mengesahkan koronavirus seperti SARS selepas pihak berkuasa mengumumkan semua kakitangan di kawasan hiburan di bandar itu untuk menggunakan topeng muka.

    Macau mengumumkan kes pertama yang disahkan – seorang ahli perniagaan berusia 52 tahun dari Wuhan yang tiba di bandar itu dengan menggunakan kereta api berkelajuan tinggi pada Ahad lalu, melalui bandar Zhuhai yang berdekatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda