Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Orang ramai yang tinggal di kawasan mudah banjir dan sering terjejas dengan banjir, dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindari sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan penyakit berjangkit bawaan makanan dan air susulan kejadian hujan lebat dan banjir pada masa ini.
Antara penyakit bawaan makanan dan air ialah kolera, cirit-birit, keracunan makanan manakala penyakit-penyakit bawaan vektor adalah seperti demam denggi, Japanese Encephalitis (JE) dan sebagainya.
Nasihat itu dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurutnya lagi, antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas banjir adalah memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol serta memasak semua makanan dengan sempurna.
Selain daripada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas, menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok.
Beliau turut menyarankan orang ramai mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain, manakala keselamatan keluarga khususnya kanak-kanak sentiasa diutamakan agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelak perkara tidak diingini seperti lemas, kecederaan dan jangkitan penyakit serta mengelakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.
Yang Berhormat Dato turut menasihatkan mereka yang mempunyai luka-luka kecil atau penyakit kulit untuk mengelak terkena air banjir kerana ia kotor dan boleh menyebabkan jangkitan. Jika mengalami kecederaan kecil dan terdedah kepada air banjir,
mereka dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.
Manakala bagi pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik, mereka hendaklah memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi dan jika kekurangan bekalan mereka adalah dinasihatkan untuk menghubungi pusat-pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan bekalan ubat.
Selain daripada itu, orang ramai perlu memastikan tidak ada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang maklum balas, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.