ISTANBUL, 29 Mei – Besiktas mempertahankan gelaran Liga Super Turki buat kali pertama sejak awal 1990-an ketika pasukan dari Istanbul itu berusaha untuk menjadi kuasa dominan baru dalam persaingan bola sepak di negara tersebut.
Pasukan gergasi Istanbul itu menewaskan Gaziantepspor dari tenggara wilayah Gaziantep 4-0 untuk meraih mahkota itu, yang ke-15 bagi keseluruhannya.
Pemain penyerang Belanda, Ryan Babel menjaringkan gol pembukaan dengan jaringan Oguzhan Ozyakup menyusul enam minit sebelum tamat perlawanan separuh masa pertama.
Anderson Talisca kemudian melengkapkan kemenangan menarik itu dengan jaringan pada separuh masa kedua.
Selama beberapa tahun dalam bayangan pesaing Istanbul, Fenerbahce dan Galatasaray, pasukan Black Eagles musim lalu memenangi gelaran Turki pertama mereka sejak 2009.

Tetapi mereka tidak dapat mengekalkan gelaran itu sejak awal 1990-an apabila mereka pernah memenanginya tiga kali berturut-turut pada tahun 1990, 1991 dan 1992 di bawah kendalian pengurus Inggeris, Gordon Mile, yang masih menjadi legenda di bandar raya itu.
Dengan gelaran itu, Besiktas juga mendapatkan tempat secara automatik ke Liga Juara-Juara dan berharap membuat peningkatan drastik setelah tersingkir dari peringkat kumpulan mereka.
Pengurus Senol Gunes, bekas penjaga gol antarabangsa Turki, yang membimbing Turki ke tangga ketiga pada Piala Dunia 2002, menukar Beskitas menjadi pasukan paling konsisten di Turki.
Tetapi mereka masih menghadapi cabaran untuk menarik lebih banyak bintang antarabangsa dan berdepan dengan tamparan menerusi pelepasan penjaring terbanyak musim lalu, Mario Gomez, pemain dari Jerman yang tidak mahu tinggal di Turki selepas satu rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai.
Kejayaan musim ini dihasilkan menerusi permainan kuat pasukan berbanding bintang seperti Gomez ketika mereka mengetepikan cabaran dari pesaing Istanbul, Basaksehir.
Besiktas musim ini menikmati bermain di Arena Vodafone di Bosphorus yang baru dirasmikan pada 2016. – AFP