Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), para pelajar kini semakin terdedah kepada pelbagai risiko keganasan dalam talian yang didorong oleh teknologi.
Bentuk keganasan itu merangkumi perlakuan buli, termasuk buli siber dan keganasan terhadap jantina melibatkan penggunaan teknologi, yang kini melangkaui sempadan bilik darjah dan berlaku dalam ruang digital.
Kesan daripada buli siber boleh menjejaskan emosi, kesihatan mental serta masa depan pelajar.
“Justeru itu, kesedaran tentang buli siber amat penting dalam usaha mendidik masyarakat, khususnya pelajar dan tidak terkecuali juga para pendidik dan masyarakat, agar menggunakan media sosial dengan lebih berhemah, beretika serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat, sihat dan bebas daripada buli siber.”
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan dan pengerusi bersama majlis, Dr Hajah Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah dalam ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian Program BEST (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) dan Pelancaran Buku Peraturan dan Garis Panduan Disiplin bagi Sekolah-sekolah Rendah, Menengah, Maktab, Pusat Tingkatan Enam dan Asrama Kerajaan, Kementerian Pendidikan bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Membeli Belah OneCity, hari ini.





Hadir merasmikan program dan melancarkan buku berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir pada majlis perasmian Program BEST itu ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap kementerian pendidikan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kementerian pendidikan, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru dan pelajar.
Dr Hajah Nor Zaiham Midawati ketika mengulas mengenai buku peraturan berkenaan menyatakan buku berkenaan akan digunakan di sekolah-sekolah rendah, sekolah-sekolah menengah dan maktab, pusat tingkatan enam serta asrama kerajaan.
Buku itu, jelasnya lagi, diharap dapat memberikan manfaat besar kepada seluruh warga sekolah dan menjadi rujukan utama dalam menangani cabaran-cabaran disiplin pelajar yang semakin kompleks pada masa kini.
Majlis diteruskan dengan pelancaran buku berkenaan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah.
Majlis kemudiannya diikuti dengan Forum BEST dan diakhiri dengan penyampaian sijil kepada agensi yang terlibat dalam penghasilan buku berkenaan serta penyampaian sijil dan cenderahati kepada ahli panel dan moderator Forum BEST.
Program selama tiga hari itu juga menampilkan pameran mengenai Program BEST pada 6 hingga 8 November yang disertai oleh 24 peserta dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta dan persatuan-persatuan yang terlibat.
Program BEST merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi membendung dan mencegah gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah.
Dengan membawa tema, Skrin Pintar: Mempelajari Cara Untuk Kekal Selamat Dalam Era Digital, program itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan melalui penyebaran maklumat khusus untuk mendidik pelajar mengawal diri, sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya serta kesan buli dan untuk melahirkan pelajar yang berdisiplin, saling menghormati serta mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik.
