Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Betflix: Rumah pegawai polis tertinggi diserbu

    BANGKOK, 25 SEPT – Polis Thailand menyerbu rumah salah seorang pegawai berprofil tinggi kerajaan itu kelmarin sebagai sebahagian daripada siri serbuan yang menyasarkan rangkaian perjudian haram dalam talian yang digelar ‘Betflix’.

    Kebanyakan bentuk pertaruhan menyalahi undang-undang di Thailand, dengan pihak berkuasa baru-baru ini berusaha untuk menutup tapak perjudian haram, selalunya milik orang asing, yang semakin berkembang.

    Siasatan meluas di enam wilayah menyaksikan pasukan SWAT menyerbu kira-kira 30 lokasi termasuk rumah Timbalan Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn di tengah Bangkok.

    Surachate, yang terkenal di Thailand kerana kerap muncul di media memberi maklumat terkini mengenai siasatan, menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan sindiket perjudian.

    “Saya tidak bimbang langsung, kerana saya tidak terlibat dalam perkara ini dan saya boleh menjawab sebarang soalan,” katanya kepada pemberita di luar rumahnya ketika serbuan dijalankan.

    Surachate Hakparn tiba semasa sidang media pada 30 Jun. – AFP

    Mejar Jeneral Polis, Trairong Phiwpan berkata serbuan itu berpunca daripada siasatan terhadap laman web perjudian bernama ‘Betflix’ dan 12 tapak subsidiari.

    Hari ini, dia memberitahu media tempatan bahawa daripada 23 suspek, 17 telah ditahan, termasuk lapan pegawai polis.

    Pegawai yang menjalankan serbuan di rumah Surachate berkata mereka tidak mengetahui siapa pemilik kediaman tersebut.

    Dikenali dengan nama samaran ‘Big Joke’ – kerana senioritinya, bukan sebab jenakanya – Surachate menegaskan waran geledah rumahnya kelihatan ‘tidak teratur’ dan membayangkan adanya persaingan dalam pasukan.

    “Hari ini saya melihatnya tidak lebih daripada politik dalaman hal polis,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda