Pelakon Beto Kusyairy tidak pernah menganggap dirinya penyanyi biarpun muncul dengan single hari raya berjudul Hari Mulia bersama Amir Jahari, baru-baru ini.
Beto atau nama sebenarnya, NurKusyairy Zakuan Osman, 45, berkata kesudiannya lagu Hari Mulia disebabkan pujukan Amir yang mahu mencipta kenangan bersamanya.
“Cerita bermula dengan sembang di kedai kopi apabila Amir menyatakan hasrat menyanyi lagu raya bersama saya.
“Saya tolak berkali-kali permintaannya kerana menganggap saya bukannya penyanyi. Namun, saya terpaksa mengalah apabila Amir keluarkan kenyataan yang mahu cipta kenangan bersama saya.
“Amir berkata sekurang-kurangnya kami ada kenangan yang boleh dijadikan khazanah. Kenyataannya ini buat saya kalah dan terima tawarannya untuk kami nyanyi bersama,” katanya kepada BH Online.

Apa yang menarik, Beto berkata, proses rakaman selesai dalam tempoh tidak sampai sejam.
“Sampai sahaja di studio, tanpa sebarang perbincangan, Amir beritahu yang kami akan terus rakam lagu apabila giliran tiba. Terkejut juga sebab tak ada latihan langsung.
“Amir bagaimanapun cuba yakinkan saya dan hanya mahu saya menyanyi. Dia inginkan kejujuran dan keikhlasan daripada nyanyian saya. Itu sahaja.
“Bila dengar balik hasilnya, rasa malu pula. Tapi, tak mengapa sebab saya cakap kepadanya, saya buat semua ini kerana saya sayangkan dirinya,” katanya yang mula rapat dengan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu sejak terbabit dalam acara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, Februari lalu.
Ditanya adakah sudah bersedia mengembangkan kerjaya seni dalam bidang seni suara, pemenang trofi Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 itu mengakui, dia lebih selesa dengan bidang lakonan yang diceburinya sejak lebih dua dekad lalu.
“Cukuplah sekali sahaja dan biarlah lagu raya ini menjadi projek pertama dan terakhir.
“Tapi, kalau ada tawaran untuk buat teater muzikal atau menyanyi untuk lagu runut bunyi filem yang dilakonkan, saya sedia untuk mempertimbangkan.
“Apapun kena tengok juga kesesuaian lagu dengan saya dan keperluannya. Tak nak buat asal boleh sahaja,” jelas Beto.
Terdahulu, aktor berkaliber itu hadir ke Balai Berita di Bangsar, hari ini bagi mempromosikan filem lakonannya berjudul Gayong.
Filem arahan Faisal Ishak itu diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 8 Mei depan. – Agensi