Selebriti Hollywood turut melontarkan ketidakpuasan hati atas kematian George Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) hingga menyaksikan ketegangan dan berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran.
Penyanyi, Beyonce salah seorang beberapa selebriti Hollywood yang menggunakan platform laman sosial untuk bangkit dan bertindak atas kematian Floyd, 46.
Isteri penyanyi Jay-Z itu menerusi entri video di Instagram (IG) meluahkan perasaan tersinggung atas perbuatan yang dianggap menjijikkan.
“Kami tak boleh menerima kesakitan ini. Saya tidak hanya bercakap sebagai wakil golongan kulit berwarna kerana saya percaya tak kira kulit putih, hitam atau coklat sekalipun, anda pasti terkesan dengan isu perkauman yang berlaku di AS sekarang ini,” katanya.
Floyd meninggal dunia pada 27 Mei lalu selepas bahagian lehernya ditekan menggunakan lutut selama sembilan minit, oleh seorang anggota polis. Satu visual dirakam seorang pejalan kaki yang tersebar menimbulkan kemarahan seluruh negara.
Ekoran itu, Beyonce mengharapkan agar tiada lagi pembunuhan sebegitu berlaku pada masa hadapan.
“Tiada lagi pembunuhan tanpa belas kasihan pada manusia. Tiada lagi melihat orang kulit berwarna sebagai satu kekurangan. Kita tidak boleh mengabaikan perkara ini.
“George adalah sebahagian daripada keluarga kita kerana dia adalah rakyat AS. Ini kali pertama melihat banyak pembunuhan kejam tanpa sebab munasabah. Ya, seseorang ditahan bersebab, tetapi tiada keadilan yang diperoleh.
“Disebabkan itu, marilah berdoa untuk keamanan dan kesembuhan pada negara,” katanya. – Agensi
