Beyonce sekali lagi mencipta sejarah apabila penyanyi superstar itu menjadi wanita kulit hitam pertama yang mengungguli carta muzik country Billboard.
Pemenang Grammy itu mencatat kejayaan tersebut selepas single terbaharunya, Texas Hold ‘Em, meraih tempat pertama dalam carta lagu country pada minggu ini. Dia telah melancarkan lagu tersebut pada 11 Februari – semasa Super Bowl – bersama dengan lagu lainnya, 16 Carriages, yang memulakan debut di tangga kesembilan dalam carta yang sama.
Dua lagu tersebut dijangka akan dimuatkan dalam album bertemakan country terbaharu Beyonce, yang dikenali sebagai act ii pada 29 Mac. Ia merupakan susulan kepada albumnya pada tahun 2022, Renaissance, yang sering dirujuk sebagai Act I: Renaissance.
Beyonce mengumumkan album penuh yang baharu selepas iklan Verizon yang menampilkan dirinya ditayangkan semasa Super Bowl bulan ini.
Menurut Billboard, Beyonce juga merupakan wanita pertama yang meraih tempat pertama dalam carta Hot Country Songs dan Hot R&B/Hip-Hop Songs sejak kedua-dua carta itu mula ditubuhkan pada tahun 1958. Hanya beberapa artis lain yang pernah menduduki tempat pertama dalam kedua-dua carta tersebut, termasuk Justin Bieber, Billy Ray Cyrus dan Ray Charles. – AP