NEW YORK, 6 JULAI – Pengasas Amazon, Jeff Bezos meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) semalam, meninggalkan tampuk pentadbiran ketika syarikat berdepan cabaran untuk pulih daripada pandemik koronavirus.
Andy Jassy, yang mengendali perniagaan pengkomputeran awan Amazon, akan mengganti Bezos, satu perubahan yang diumumkan oleh syarikat pada Februari.
Bezos, pemegang saham terbesar Amazon dengan saham bernilai AS$180 bilion, masih menguasai syarikat yang ditubuhkannya dari garaj di Seattle pada 1995. Beliau mengambil alih jawatan pengerusi eksekutif, dengan rancangan menumpu pada produk dan inisiatif baharu.
Jassy bakal menerajui pentadbiran syarikat bernilai AS$1.7 trilion yang menerima manfaat daripada pandemik, dengan keuntungan meningkat lebih tiga kali ganda dalam suku pertama 2021 dan mencatat hasil rekod tatkala jumlah pelanggan meningkat disebabkan lebih bergantung pada aktiviti membeli-belah dalam talian semasa pandemik.
Dalam satu blog kepada pekerja pada awal tahun ini, Bezos berkata beliau merancang meluangkan lebih banyak masa untuk projek sampingan, termasuk syarikat penjelajahan angkasa lepas Blue Origin, inisiatif dermawan dan juga menyelia The Washington Post, yang dimilikinya.
Pertama, lelaki terkaya di dunia berdasarkan anggaran Forbes itu akan memenuhi impian kanak-kanaknya untuk mengunjungi angkasa lepas. Bezos, 57, akan berlepas ke angkasa pada 20 Julai apabila Blue Origin mengadakan penerbangan pertamanya bersama kru, membawa bersama adiknya Mark, seorang pelabur dan anggota bomba sukarelawan.
Jassy, yang telah bekerja di Amazon sejak 1997, mengendalikan perniagaan pengkomputeran awan yang menyediakan laman penstriman video Netflix dan banyak syarikat lain, menjadikannya salah satu perniagaan paling menguntungkan untuk Amazon. – AP
