Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – ‘Perodua Bezza Premium X’, kereta sedan pertama Perodua, secara rasmi memasuki pasaran Brunei dengan majlis pelancarannya diadakan di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi, pagi tadi.
Pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, Pengerusi GHK Motors, Pengiran Dato Shariffuddin bin Pengiran Haji Matali dan Pengarah Eksekutif Perodua, Takamasa Kurinami dengan disaksikan oleh para pelanggan setia GHK Motors dan para jemputan.
Bezza adalah sebuah kereta EEV pertama dalam barisan model jenama Perodua yang mana ‘Beza’ bermaksud berlainan dalam bahasa Malaysia, manakala itu, dua huruf ‘Z’ yang terletak dalam nama Bezza tersebut menyerupai nombor 22 menandakan Perodua sudah dalam pasaran selama 22 tahun.
Kereta sedan ini dihasilkan lebih besar dan dengan rekaan moden serta aerodinamik.
Pemilik atau pemandu akan menerima lebih daripada jangkaan kerana Bezza menyatukan keseluruhan kemahuan pelanggan seperti teknologi terkini, penggunaan penting, keselamatan tinggi, kualiti dan harga berpatutan dalam sebuah sedan.


Model premium ini dimuatkan dengan enjin 1.3cc 1NR-VE Dual VVT-i dengan kuasa 70/6000 (Kw/rpm) yang juga menawarkan fungsi Push Start/Stop, pemegang pintu luar disalut warna krom, kunci pintar hingga kepada sistem audio dengan kelengkapan USB & Bluetooth.
Apa yang menarik pada model ini, ia memiliki cermin sisi automatik, sensor undur, tali pinggang keledar dengan fungsi ISOFIX dan beg udara depan. Perodua Bezza juga dianugerahkan dengan empat bintang keselamatan ASEAN NCAP.
Perodua yang mesra alam ini dijanjikan dengan prestasi baik dengan penjimatan minyak melalui Unit Kawalan Enjin (ECU). Kereta ini sesuai bagi perjalanan bersama keluarga kerana ruang dalam yang luas.