BEIJING, 28 MAC – Sidang tahunan Forum Boao untuk Asia (BFA) akan menyediakan peluang dan pendekatan baharu bagi pembangunan negara ASEAN, kata Duta China ke ASEAN, Hou Yanqi.
Beliau menyifatkan penganjuran acara tahunan itu sebagai tepat pada waktunya kerana ia selaras dengan keadaan semasa serta aspirasi negara terbabit.
“Di sebalik wabak COVID-19 dan situasi dunia yang tidak menentu, ekonomi China dan ASEAN kekal berkembang pesat dalam tempoh tiga tahun lalu.
“BFA tahun ini bakal mencipta lebih banyak peluang dan ruang kerjasama bagi memantapkan lagi aktiviti perdagangan dan ekonomi antara China dengan negara ASEAN,” kata beliau.
Hou berkata China dan negara ASEAN melaksanakan sepenuhnya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping menggerakkan rundingan berhubung penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).
Bertemakan An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development amid Challenges, BFA 2023 dijadual berlangsung di Boao, Hainan bermula 28 hingga 31 Mac. – Bernama
