Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Pembikin filem tempatan, Asyraaf Abdullah dan Adin Saifulbahri memenangi kategori masing-masing dalam Brunei Film Blitz (BFB) ke-6 yang berakhir dengan Malam Anugerah Gala, malam tadi.
Filem Asyraaf bertajuk Kipas dinobatkan sebagai pemenang Kategori Terbuka dengan membawa pulang wang tunai $1,000 manakala filem Adin bertajuk You, I, Me pula diumumkan sebagai pemenang 96 Hour Blitz sekali gus membawa pulang $1,500.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis itu telah disempurnakan oleh Pengarah Festival, Siti Kamaluddin yang turut menyampaikan Anugerah Honorable Mention kepada Adin bagi filem Leka serta Anugerah Juri kepada pembikin filem animasi, Rabiatul Adawiyah binti Misle bagi filem Jungle.
Lebih 20 pembikin filem menghantar filem mereka bagi pertandingan kali ini yang
mana para peserta terdiri daripada peserta dari Asia Tenggara termasuk negara jiran Indonesia dan Malaysia.
Barisan juri terdiri daripada pembuat filem atau penganjur festival filem Australia yang memenangi anugerah, Elliot Spencer serta penerbit dan pengarah yang berpangkalan di Malaysia, Lydia Lau.
BFB ke-6.
Mengulas mengenai penyertaan pada kali ini, para juri sungguh mengagumi standard tinggi dan kepelbagaian produksi yang ditampilkan peserta dalam filem mereka dengan ekspresi inovatif yang tersendiri di mana filem pendek yang dihasilkan turut mencetuskan kebebasan kreatif yang memberi inspirasi.
Siti Kamaluddin mengakhiri malam itu dengan mengetengahkan peningkatan besar filem yang dicipta oleh pembikin tempatan sejak ia mula diadakan enam tahun lalu.
Beliau jelas terpukau dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para peserta yang baginya semakin bertambah baik dari setahun ke setahun.
Menurutnya, ia adalah satu langkah besar ke hadapan bagi industri perfileman Brunei yang terus berusaha untuk mendapatkan cerita visual terbaik.
Pada masa yang sama, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada para penaja tahun ini termasuk Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), imagine dan penaja lokasi,
Mahakarya Institute of the Arts Asia atas sokongan yang berterusan.
BFB yang diadakan sempena Festival Disember Brunei telah menayangkan sebanyak 22 filem dari seluruh dunia.
Manakala itu, dalam kategori terbuka juga menyaksikan penyertaan filem antarabangsa dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti pembikin filem di Negara Brunei Darussalam.