Aku tak pernah sangka, orang yang paling aku percaya, sahabat baik ku sendiri jadi orang yang menikam aku dari belakang. Madu aku rupanya dia dan aku baru tahu semuanya selepas terlalu banyak tanda yang aku abaikan.
Aku ingatkan aku paranoid bila nampak mereka berdua makin rapat, ketawa lebih dari biasa, mesej lewat malam kononnya hal kerja. Aku percaya sebab itu bff aku, yang selalu ada bila aku susah.
Tapi bila rahsia terbongkar, aku rasa dunia berhenti sekejap. Aku tak tahu nak marah siapa dulu, suami yang khianat atau kawan yang sanggup tikam aku dengan senyuman.
Sekarang setiap kenangan terasa busuk. Semua gelak tawa dulu berubah jadi racun. Aku duduk diam malam-malam, fikir apa aku kurang? Kenapa pengkhianatan tu datang dari orang yang aku paling sayang dan percaya?
Kadang aku rasa nak lepaskan semuanya, reda dan teruskan hidup. Tapi hati aku belum kuat. Aku cuba yakinkan diri bahawa Tuhan nampak segalanya. Mungkin ini cara Dia tunjukkan siapa yang benar-benar ikhlas dalam hidup aku.

Aku masih belajar untuk berdamai dengan diri sendiri. Bukan mudah, tapi aku tahu, suatu hari nanti aku akan mampu senyum semula, tanpa rasa perit bila teringat mereka. Sebab pengkhianatan mereka bukan tanda aku lemah, tapi tanda aku pernah sayang dengan sepenuh hati.
Afina
NASIHAT DANG MP –
Apa yang sedang Afina lalui sudah pasti amat menyedihkan dan menyakitkan hati apabila dikhianati oleh dua orang yang paling dipercayai. Rasa marah, kecewa, keliru dan rasa tertipu sudah pasti menyelubungi hati Afina.
Tapi ketahuilah, pengkhianatan mereka bukan ukuran nilai diri awda dan juga kesalahan awda. Ia juga tidak menunjukkan kekurangan awda, tetapi menunjukkan kamu pernah memberi kasih dan kepercayaan yang tulus.
Sekarang yang paling penting ialah memberi ruang untuk diri sendiri pulih. Tak perlu tergesa-gesa untuk memaafkan atau melupakan kerana penyembuhan sudah pasti mengambil masa. Gunakan masa ini untuk kembali mengenali diri, membina semula kekuatan dan fokus pada orang yang masih menghargai awda. Dalam masa yang sama, sibukkan diri dengan mencipta kenangan baharu dan mencari kenalan yang baharu dengan meluaskan pergaulan serta mencuba perkara-perkara baharu. Elakkan diri daripada terlampau mengingatkan kenangan lama.
Suatu hari nanti, luka ini akan jadi pelajaran dan pengalaman yang membentuk awda menjadi insan yang lebih bijak dan tegas dalam memilih siapa yang layak berada di sisi awda.
