BELAIT, 14 NOV – Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) dengan rasminya melancarkan Safety Park, iaitu kemudahan latihan keselamatan dalaman pertama di Asia Tenggara baru-baru ini. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh budaya keselamatan, meningkatkan tahap kompetensi dan mengukuhkan komitmen syarikat kepada kecemerlangan operasi.
Majlis pelancaran berlangsung di Mini Theatre, SPARK Centre dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga Pengerusi BFI.

Turut hadir ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, dan Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Yang Mulia Dr. Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat, pengarah-pengarah pengurusan syarikat, pihak berkepentingan dan rakan kongsi perniagaan.
Safety Park merupakan satu langkah strategik BFI dalam mengukuhkan lagi keselamatan melalui pendekatan pembelajaran praktikal yang menggabungkan teori dan aplikasi secara langsung. Kemudahan ini membolehkan pekerja, kontraktor dan pelawat mendapat pengalaman langsung dalam mengenalpasti bahaya, tindak balas kecemasan dan amalan kerja selamat sebelum memasuki kawasan operasi sebenar.
Pelancaran Safety Park menegaskan komitmen BFI terhadap piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi serta menyumbang kepada usaha negara membangunkan modal insan berkemahiran tinggi selaras Wawasan Brunei 2035.
Semua di atas: Antara suasanan semasa lawatan oleh tetamu kehormat. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BFI

