Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Bersempena ulang tahunnya yang ke-25, Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) telah mengadakan aktiviti Plant a Tree 2023 dengan menanam 100 anak pokok di Taman Pentagon, Jalan Menteri Besar, Berakas.
Aktiviti penanaman pokok Tabebuia Rosea Pink itu juga sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial BGC dengan tema Sungai Bersih, Laut Bersih.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar.
Turut hadir ialah wakil dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Mitsubishi Corporation, Sekretariat Perubahan Iklim Brunei dan warga kerja BGC.
Dengan kerjasama Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD), sebanyak 25 anak pokok telah ditanam di Taman Pentagon, Jalan Menteri Besar, Berakas manakala itu, baki 75 pokok akan ditanam di Hutan Simpan Berakas pada masa akan datang.
Aktiviti berkenaan turut disertai lebih kurang 60 orang sukarelawan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan kongsi perniagaan dengan berkongsi matlamat yang sama untuk memelihara dan mengembangkan litupan hutan dan mengurangkan pelepasan karbon, mengekalkan biodiversiti dan menggalakkan pembangunan yang mampan.
Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, “Kehadiran kami di sini bukan sahaja mencerminkan dedikasi kami untuk memelihara dan meningkatkan persekitaran semula jadi, tetapi kami komited terhadap matlamat pembangunan global yang mampan.
“Impak usaha kita mungkin tidak akan nampak secara serta-merta, akan tetapi legasi yang kita tinggalkan itu benar-benar penting,” ujarnya lagi.