Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BGC, BMA meterai perjanjian kukuh tenaga kerja industri

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) telah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian di antara BGC dan Akademi Maritim Brunei (BMA) di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BGC, hari ini, hadir menandatangani perjanjian tersebut ialah Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohammad Zamri bin Haji Sabli; Pengetua Satelit IBTE, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab dan Pengurus Warga BGC, Awang Mohd Khairol Amilin bin Haji Maidin.

    Di bawah perjanjian itu, BGC akan menyediakan pegawai-pegawai marin BGC dan Deck Ratings berpengalaman sebagai pensyarah tambahan kepada BMA sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengukuhkan tenaga kerja Brunei bagi mengisikan jawatan utama dan pekerjaan dalam industri maritim di Brunei.

    Skim itu juga memberi peluang kepada pegawai dan kru BGC untuk meneroka di luar kerjaya pelaut yang dapat membantu mereka membangunkan sifat-sifat kepimpinan.

    Peruntukan bagi pensyarah tambahan berkenaan adalah dilaksanakan secara bergilir dan dijangka akan bermula pada Januari 2021.

    Pengiran Shamhary bertukar dokumen dengan Dr Haji Mohammad Zamri selepas majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, baru-baru ini. – Gambar serahan BGC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda