Tuesday, December 17, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BGC, Brunei LNG kukuhkan kerjasama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) menandakan satu lagi mercu tanda signifikan dalam kerjasamanya dengan Brunei LNG apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian lanjut bagi Amani Time Charter Party dalam majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di Pejabat BGC, Jerudong, hari ini.

    Hadir menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga), Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Turut hadir ialah wakil-wakil pemegang saham dan pengurusan serta kakitangan BGC dan Brunei LNG.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew berkata acara itu menandakan satu mercu tanda signifikan dalam kerjasama di antara kedua-dua buah syarikat di mana ia merupakan satu simbol kepercayaan dan kerjasama yang kukuh di antara BGC dan Brunei LNG.

    Beliau berkata BGC amat mengambil berat peranannya sebagai pembawa LNG unggul dalam ekonomi Brunei menerusi kerjasama dengan Brunei LNG.

    Kapten Abdul Mateen dan Hajah Farida menunjukkan dokumen perjanjian selepas acara penandatanganan. Majlis disaksikan oleh Dato Seri Paduka Haji Matsatejo. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo hadir pada majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di Pejabat BGC, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Menerusi kerjasama itu, tambahnya, pihaknya mengesahkan semula komitmen mereka untuk menyelaraskan inisiatif-inisiatif kerajaan bermatlamat memupuk pertumbuhan ekonomi mampan melalui sumbangan aktif mereka bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu mentransformasikan negara menjadi sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Kapten Abdul Mateen seterusnya berkata perjanjian lanjutan perkhidmatan Amani berkenaan adalah selaras dengan usaha BGC dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menghasilkan warga yang berkemahiran tinggi, berjaya dan berpendidikan.

    Beliau menambah BGC amat bangga dengan warganya yang terus cemerlang dalam peranan mereka.

    “Ini bukan sahaja menyokong kepakaran dalam BGC tetapi juga menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan keseluruhan industri maritim di Brunei,” katanya.

    Kapten Abdul Mateen menekankan lanjutan perjanjian berkenaan adalah amat penting yang memainkan peranan signifikan dalam memastikan penghantaran maritim LNG yang selamat, boleh dipercayai dan mampan kepada pelanggan-pelanggan antarabangsa yang dihargai.

    Pada majlis berkenaan, perjanjian telah ditandatangani oleh Kapten Abdul Mateen bagi pihak BGC dan bagi Brunei LNG oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dengan disaksikan oleh Dato Seri Paduka Haji Matsatejo.

    Dengan penandatanganan perjanjian lanjutan berkenaan, perkhidmatan time-charter party, yang disediakaan oleh LNG Carrier, Amani, akan disambung bagi tempoh 10 tahun bermula November 2024.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda