Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) memperingati ulang tahun ke-27 yang meraikan lebih daripada dua dekad operasi perkapalan yang selamat, boleh dipercayai, dan bertaraf dunia dalam menyokong sektor tenaga Brunei Darussalam.
Untuk memperingati detik bersejarah ini, BGC juga telah mengadakan Majlis Kesyukuran dan Solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam di Jerudong kelmarin.
Hadir ke majlis berkenaan tetamu kehormat, Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew bersama pegawai kanan kerajaan, rakan industri dan ahli komuniti yang mencerminkan hubungan kukuh yang telah dibina oleh BGC sepanjang tahun kebelakangan ini.
BGC juga telah menganjurkan program derma khas sebagai sebahagian daripada majlis berkenaan. Sumbangan yang dikutip daripada kakitangan BGC disampaikan kepada anak yatim daripada bekas kakitangan BGC, anak yatim yang tinggal di Kampung Jerudong A dan B serta pelajar dari SMARTER Brunei.
Sejak penubuhannya, BGC telah memainkan peranan penting dalam menyokong eksport LNG Brunei, mengekalkan piawaian keselamatan dan alam sekitar yang tertinggi, dan memupuk bakat tempatan dalam industri maritim.
“Selama 27 tahun, BGC telah mengekalkan komitmennya terhadap operasi perkapalan yang selamat, boleh dipercayai, dan cekap. Pencapaian ini adalah hasil daripada dedikasi tenaga kerja kami dan perkongsian yang kukuh yang telah kami bina sepanjang tahun-tahun ini. Semasa kami melihat ke hadapan, kami tetap fokus kepada inovasi, pertumbuhan, dan memajukan industri maritim Brunei ke tahap yang lebih tinggi,” kata Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew mengimbas pencapaian BGC.
Dengan visi yang kukuh untuk masa depan, BGC kekal komited untuk mengharungi landskap maritim yang sentiasa berubah dengan ketahanan, kelestarian, dan kecemerlangan, memastikan ia terus memberi perkhidmatan kepada Brunei dan pihak berkepentingan untuk tahun-tahun yang akan datang.