Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Bulan Ramadan bukan sahaja merupakan waktu untuk menahan lapar, dahaga dan nafsu tetapi juga merupakan peluang keemasan untuk memperbanyakkan lagi ibadah dan amalan kebajikan.
Sehubungan dengan itu, Brunei Gas Carriers (BGC) Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan untuk Anak-anak Yatim Kampung Jerudong dan Kanak-kanak Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Jerudong Park & Polo Country Club, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima ialah Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Jerudong A, Awang Mohammad Nazmi Fa’iz bin Haji Abu Bakar; Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Kamis bin Panjang; Presiden YASKA, Haji Mohd Suffian bin Haji Zainal dan Naib Pengerusi YASKA, Dayang Tsara ‘Nawwarah binti Abdullah Chen.
Dalam majlis berkenaan, Kapten Abdul Mateen dalam kata alu-aluannya berkata sempena bulan Ramadan, BGC telah menganjurkan inisiatif pelaburan sosial yang dinamakan Projek Amali.





