Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bhutan, Bitdeer rancang bina operasi perlombongan kripto

    SINGAPURA, 4 MEI – Bhutan dan Bitdeer yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan rancangan untuk mengumpul AS$500 juta bagi menubuhkan operasi perlombongan kripto yang menggunakan kuasa hidro kerajaan Himalaya yang banyak.

    Tenaga elektrik yang besar diperlukan untuk mengendalikan ladang komputer yang digunakan untuk melombong mata wang kripto, sekali gus membawa kepada kritikan hebat terhadap kesannya ke atas iklim dan pencarian untuk pilihan perlombongan yang lebih hijau.

    Kos tenaga yang melambung tinggi juga telah menekan firma kripto, membawa kepada kelahiran beberapa inisiatif untuk mencari cara yang lebih murah dan lebih mampan untuk menggerakkan operasi mereka dalam industri yang cukup terkenal berisiko tinggi dan tidak menentu.

    Inisiatif yang diumumkan kelmarin oleh cabang pelaburan kerajaan Bhutan, Druk dan firma perlombongan kripto yang disenaraikan di Nasdaq, Bitdeer termasuk pembinaan pusat data dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti kuasa hidro dan hidrogen.

    “Perkongsian dengan Bitdeer untuk melancarkan pusat data perlombongan aset digital bebas karbon mewakili pelaburan dalam ekonomi domestik yang lebih terhubung dan mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Druk, Ujjwal Deep Dahal dalam satu kenyataan bersama dengan Bitdeer.

    Bhutan, diapit antara India dan China, adalah negara karbon negatif dan perlembagaannya memberi mandat bahawa 60 peratus daripada negara itu perlu kekal berada dalam keadaan hutan.

    Ia mempunyai bekalan kuasa hidro yang banyak dan mengeksport elektrik ke India, tetapi telah meningkatkan usaha dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengembangkan sumber pendapatan dan mempelbagaikan ekonominya.

    Druk dan Bitdeer, yang sudah menjalankan operasi pusat data di Norway dan Amerika Syarikat, berkata mereka dijangka mula mengumpul dana untuk inisiatif tersebut menjelang akhir Mei. – AFP

    Perlombongan mata wang kripto memerlukan tenaga elektrik yang banyak. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda