Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah mendapati beberapa laporan mengenai skim pelaburan penipuan melalui akaun palsu di laman Telegram dan Facebook yang menggunakan nama baik dan logo serta nama pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.
Sehubungan itu, BIA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, ingin menjelaskan bahawa skim pelaburan palsu tersebut telah dilakukan oleh individu-individu yang tidak dikenali dan tidak ada kaitan dengan agensi berkenaan.
BIA adalah sebuah badan berkanun yang mana tujuan utama agensi ini adalah untuk menguruskan Dana Simpanan Am bagi Negara Brunei Darussalam. BIA tidak pernah mengeluarkan sebarang produk atau skim pelaburan bagi orang awam serta tidak menerima sebarang dana atau pelaburan daripada orang awam.


