Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – BIACC Sdn Bhd melakar satu lagi pencapaian penting dalam sejarah syarikat berkenaan apabila diiktiraf sebagai syarikat yang pertama meraih piawai-an ISO22301:2019 (Business Continuity Management System, BCMS) dinegara ini melalui syarikat persijilan pihak ketiga, Bureau Veritas.
Sehubungan itu, Majlis Anugerah BIACC bagi ISO 22301:2019 telah diadakan di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penganugerahan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Pengerusi BIACC, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.
Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah BIACC dan kakitangannya serta jemputan khas yang terdiri daripada Darussalam Assets, Darussalam Assets Group of Companies, Bureau Veritas, pegawai-pegawai kerajaan, syarikat penerbangan, syarikat penghantaran barang dan kurier serta pihak-pihak yang berkepentingan.
Dato Seri Paduka Haji Khairuddin dalam ucaptamanya menyatakan penganugerahan persijilan ISO 22301:2019 merupakan satu pencapaian yang menakjubkan bagi Darussalam Assets Group of Companies di mana BIACC Sdn Bhd merupakan syarikat pertama yang menerima pencapaian piawaian berkenaan.
Dengan penganugerahan itu, tambahnya, ia akan memastikan bahawa BIACC akan terus menyediakan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta kekal sebagai salah satu yang terbaik dalam perniagaan logistik kargo udara.
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sijil piawaian ISO22301:2019 daripada wakil Bureau Veritas kepada Pengurus Am BIACC, Awang Ariffin Emran dengan disaksikan oleh Dato Seri Paduka Haji Khairuddin.
Awang Ariffin dipetik menyatakan bahawa penganugerahan persijilan berkenaan merupakan bukti hasil kerja keras serta komitmen pekerja-pekerja syarikat dalam memperoleh pensijilan berkenaan.
BIACC telah menjalani proses penilaian awal pada Mei 2022 oleh Bureau Veritas untuk memastikan pematuhan piawaian ISO dan telah berjaya mencapai pensijilan ISO22301:2019 pada 17 Jun 2022.


