Oleh Salawati Haji Yahya –
BELAIT, 29 OGOS – Akibat membiarkan sampah-sampah kotor berselerak di hadapan persimpangan jalan masuk dan keluar di sebuah pangsapuri di daerah ini, sebuah syarikat telah dikenakan kompaun $1,000 di bawah Akta Kesalahan Rampaian Bab 12 (1) (a).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) hari ini, Syarikat Liew Lock & Anak-anak di Jalan Mckerron, Kuala Belait telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika didapati gagal boleh didakwa di mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama, dan kesalahan seterusnya denda sebanyak $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.
Bahagian Penguatkuasaan JBKBS juga akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dan akan mengenakan denda kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam.
Ini termasuk membuang sampah di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa/peniaga/penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.
Untuk sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JBKBS di talian 3330789 atau 3330781 sambungan 215.