Meskipun namanya kurang komersial, namun, pelakon baharu, Siti Khadijah Halim, 25, tidak pernah terfikir menggunakan nama glamor agar lebih dikenali.
Tegas pelakon drama Dukun Diva itu, dia akan terus menggunakan nama sebenar dan tidak sesekali menukar nama yang dipilih ibu bapanya.
“Saya suka, sayang dan cintakan nama saya. Dari dahulu hingga sekarang, saya menggunakan nama sebenar, Siti Khadijah Halim, sama ada dalam Instagram mahu pun drama.
“Saya bangga menggunakan nama sebenar. Jika ada kesalahan ejaan, saya akan minta pihak produksi membetulkannya.
“Saya juga mahu membawa nama bapa sampai bila-bila. Saya mahu membanggakan bapa dengan terus membawa namanya bersama saya,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Siti Khadijah tidak menafikan pernah meminta nasihat beberapa penerbit dan pengarah berkenaan nama.
“Saya bertanya jika mahu menggunakan nama glamor, nama apa yang patut digunakan. Contohnya, MK K-Clique.
“Dan ramai mengatakan tidak perlu, teruskan kekal dengan nama Siti Khadijah.
“Jadi, biarlah orang kenal saya dengan nama sebenar, bukan samaran,” katanya.
Membawa nama isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah tidak menafikan, dia kerap menjadi mangsa sesetengah netizen yang memandang serong kepadanya kerana tidak bertudung.
“Setengah warganet mempertikaikan nama Siti Khadijah, namun, tidak bertudung? Mereka merasakan penampilan saya tidak sesuai dengan nama yang dibawa.
“Saya faham, sesiapa bebas memberikan komen dalam dunia siber. Tak mengapa, itu pemahaman masing-masing, jadi saya terima dengan hati yang terbuka.
“Disebabkan itu, saya mahu mengekalkan imej sopan. Walaupun tidak bertudung, saya masih dikenali dengan imej baik.– Agensi