Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD ALAF bantu pelajar capai impian

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Program BIBD ALAF memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang di seluruh negara sejak penubuhannya pada tahun 2014.

    Ia bukan sahaja sebuah program bantuan pembelajaran, tetapi juga satu inisiatif yang inklusif dan komprehensif.

    Dalam meraikan kejayaan pelajar-pelajar di bawah program itu, Majlis Penganugerahan Dana Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat (ALAF) yang diselajurkan dengan Penyampaian Skim Bursari Penggalak (SBP) BIBD Tahun Akademik 2025 telah berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’seni di ibu negara, kelmarin.

    Dalam temu bual media, Awang Saiful Azmi bin Saradin, salah seorang pelajar yang telah menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar di Kaherah, berkongsi pengalamannya.

    Beliau mula menyertai Program BIBD ALAF pada tahun 2014, ketika berusia 16 tahun dan berada di Tahun 9 di Sekolah Mahad Islam Brunei.

    Awang Saiful Azmi, salah seorang pelajar yang menyertai Program BIBD ALAF pada tahun 2014. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang Siti Khairun Hawani semasa ditemui Media Permata. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Menurutnya, kejayaan menjadi salah seorang peserta program tersebut memberikannya peluang untuk melanjutkan pengajian dan memperkaya pengalaman dalam pelbagai aspek.

    Awang Saiful Azmi juga berkongsi bahawa beliau terpilih untuk Program BIBD ALAF Scholar kerana pencapaian akademik yang baik, terutama dalam peperiksaan, yang menunjukkan dedikasi dan komitmennya terhadap pelajaran.

    “Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi, tetapi juga membentuk disiplin, kepimpinan, dan keusahawanan dalam diri saya,” jelasnya.

    Sepanjang tempoh pengajian, beliau merasai bagaimana sokongan yang diberikan oleh BIBD melalui program itu membantunya untuk terus fokus dan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

    Selain daripada peluang untuk mengikuti latihan dan aktiviti pembangunan diri, beliau juga diberi peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin industri, yang memperkaya pengalaman beliau.

    Dengan berjaya menggenggam segulung ijazah, beliau bertekad untuk menggunakan ilmu yang diperoleh untuk memberi impak positif kepada komuniti dan menyumbang kepada kemajuan negara.

    “Program ini bukan sahaja membantu saya mencapai impian pendidikan, tetapi juga membuka ruang kepada saya untuk berkembang menjadi individu yang lebih berdaya saing dan berpengetahuan,” tambahnya.

    Menyentuh mengenai Program BIBD ALAF, beliau berkata program tersebut memberi kesan positif kepada pelajar dengan menyediakan sokongan barang-barang persekolahan dan lain-lain, membolehkan mereka fokus pada pengajian tanpa beban kewangan.

    Program berkenaan juga memperkaya pengalaman pelajar melalui latihan kepimpinan, kemahiran insaniah, serta peluang untuk berinteraksi dengan mentor dan profesional industri.

    Semua itu, menurut Awang Saiful Azmi, membantu pelajar membangunkan diri mereka, berjaya dalam akademik, dan mempersiapkan diri untuk kerjaya masa depan.

    Sementara itu, Dayang Siti Khairun Hawani binti Moamad Khairuddin, pelajar Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk menyer-tai dalam Program BIBD ALAF.

    “Dengan peluang yang diberikan itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh dengan kemudahan yang telah diberikan dan tidak akan mensia-siakannya,” jelasnya.

    Perasaan syukur dan gembira turut dikongsikan oleh ibu Dayang Siti Khairun Hawani kerana anaknya diberi peluang untuk menyertai dalam SBP BIBD ALAF.

    Sebagai seorang ibu, beliau berharap Dayang Siti Khairun Hawani akan dapat belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-citanya.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada BIBD kerana telah memberi peluang kepada anak saya untuk menyertai SBP BIBD,” tambahnya.

    Awang Saiful Azmi juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BIBD atas sokongan yang luar biasa sepanjang perjalanan beliau sebagai BIBD ALAF Scholar, di mana program tersebut telah memberi peluang yang tidak ternilai, bukan hanya dari segi pendidikan, tetapi juga dalam pembangunan diri dan kerjaya.

    “Terima kasih kerana memberi peluang untuk berkembang, belajar dan berinteraksi dengan individu-individu yang memberi inspirasi. Saya berharap untuk terus memberi impak positif kepada komuniti dan negara, sebagai penghargaan kepada segala bimbingan dan sokongan yang telah diberikan oleh BIBD,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda