Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD ALAF sokong pelajar raih kejayaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Program Menyokong Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Masa Depan yang Berwawasan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) terus menjadi inisiatif mengubah hidup golongan pelajar di seluruh Brunei, menyokong perjalanan akademik sehingga membolehkan mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi dan mencapai kerjaya yang bermakna.

    Bersempena dengan meraikan Sambutan Hari Guru di negara ini, BIBD turut tidak ketinggalan dalam menonjolkan beberapa cendekiawan dan alumni ALAF yang mengongsikan bagaimana program ini, bersama-sama dengan bimbingan guru masing-masing berjaya membentuk masa depan mereka.

    Michelle Wong Su Heng, seorang graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun ini dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris, kini bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Chung Ching.

    Beliau mengimbas kembali bagaimana program BIBD ALAF telah mengubah hidupnya dengan mengongsikan dirinya telah menjadi sebahagian daripada program BIBD ALAF selama hampir 10 tahun, dan tidak pernah sekali pun BIBD ALAF gagal membantunya dari segi kewangan dalam perjalanan pendidikan.

    Bersempena Hari Guru ini, beliau turut berkesempatan menyatakan rasa terima kasihnya kepada semua guru yang telah mengajar dirinya semasa di Sekolah Rendah Muhammad Alam, Maktab Anthony Abell, Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan UBD.

    Michelle Wong Su Heng kini bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Chung Ching. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Awang Mohd Firdaus seorang cendekiawan BIBD ALAF yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Pengurusan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    GAMBAR SERAHAN BIBD

    Dalam pada itu, beliau juga berharap pelajar ALAF sekarang akan sentiasa ingat untuk mengamalkan dan merakamkan rasa terima kasih kepada individu yang telah menghulurkan bantuan. “Apa yang penting, saya harap mereka akan terus cemerlang dalam pelajaran dan membanggakan BIBD ALAF!”

    Sementara itu, Dayang Nur Hafikah binti Haji Bakri iaitu seorang graduan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, pada tahun 2022 dalam jurusan Syariah Islamiah, juga merupakan seorang lagi alumni program BIBD ALAF yang memberi inspirasi.

    Beliau yang kini merupakan Pegawai Penyelidik Syariah di Bahagian Syariah BIBD antaranya mengongsikan, sejak menyertai BIBD ALAF, ia membantu dirinya dalam pelajaran sehingga peringkat ijazah.

    Jelas Dayang Nur Hafikah, BIBD ALAF telah mengajar banyak perkara melalui program yang mereka jalankan dan bengkel yang membantu dirinya mengembangkan kemahiran baharu di mana beliau tidak perlu risau tentang keperluan sekolah kerana BIBD ALAF menyediakan semua yang diperlukan selama ini.

    “Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di luar sana. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang mengajar kami, menyokong kami dengan segala usaha yang telah mereka berikan, untuk menyediakan pendidikan yang lebih baik untuk kami. Demi masa depan yang lebih cerah, guru membentuk diri kami yang ada sekarang,” ucapnya.

    Graduan baharu Program BIBD ALAF yang lain termasuk Hong Hui Qin, graduan dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada 2023 dengan ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan kini bekerja dalam sektor minyak dan gas; dan Awang Hazmi bin Haji Juli, yang juga graduan UTB pada tahun 2023 dalam jurusan Kejuruteraan Awam dan kini menyertai program i-READY di sebuah firma kejuruteraan.

    Dayang Siti Nurul Izzah Adila binti Arfian, seorang sarjana BIBD ALAF yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) di Monash University, Australia, menyatakan rasa terima kasihnya atas peranan yang dimainkan BIBD ALAF dalam membentuk perjalanan akademiknya.

    Seorang lagi cendekiawan ALAF yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Pengurusan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Awang Mohd Firdaus bin Mohd Salleh, antaranya merakamkan jiwa kesyukuran dengan menjelaskan setakat ini BIBD ALAF telah banyak berjasa kepada beliau termasuk sokongan kewangan, tuisyen dan keperluan sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda