Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – BIBD Asset Management (BIBD AM) yang beroperasi di bawah lesen BIBD Securities Sdn Bhd, sedang menguatkan lagi komitmen untuk mengamalkan pelaburan bertanggungjawab setelah dikenali sebagai salah satu penandatangan (signatory) United Nations Principles of Responsible Investing (UN PRI), yang pertama bagi Negara Brunei Darussalam.
Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menerangkan bahawa UN PRI merupakan standard terkemuka dunia bagi pelaburan bertanggungjawab di mana ia merupakan sebuah inisiatif disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berkhidmat untuk mempromosikan menggabungkan faktor-faktor alam sekitar, sosial dan urus tadbir korporat ke dalam pembuatan keputusan pelaburan.
Sehingga Jun 2021, UN RPI mempunyai lebih 4,000 penandatangan sejak ia dilancarkan pada 2006 termasuk pengurus-pengurus aset terkemuka seperti Blackrock, PIMCO dan UBS.
Kenyataan memetik Pengarah Urusan BIBD Securities, Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi berkata, “Alhamdulillah, kami gembira dapat untuk mencapai langkah pertama dalam perjalanan ESG kami.
“Menjadi penandatangan UN PRI merupakan salah satu matlamat segera ditetapkan untuk 2021 dengan kami menyasarkan untuk menjadi champion domestik bagi ESG dan pelaburan bertanggungjawab sosial di Brunei, iaitu selaras dengan prinsip-prinsip Maqasid Shariah yang telah kami amalkan buat sekian lamanya,” tambah beliau.
Beliau menambah bahawa inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kumpulan BIBD untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UN SDG), dengan melibatkan masyarakat dan sistem kewangan untuk tumbuh dalam cara yang lebih mampan dan bernilai.
Pendekatan seumpama itu, ulasnya, akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar secara keseluruhannya.
“Kami bersyukur untuk dibimbing dan mempunyai sokongan daripada keseluruhan Kumpulan BIBD tetapi pada masa yang sama, kami juga ingin mengiktiraf kerja tanpa lelah oleh pasukan yang kukuh kami dan bakat-bakat tempatan di BIBD Asset Management,” tambah Haji Muhammad Yazid.
Beliau turut berkata bahawa BIBD AM merupakan satu daripada penandatangan kepada UN PRI dalam kalangan pengurus-pengurus pelaburan patuh syariah di rantau ini sehingga hari ini.
“Kami mempunyai rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak penyelesaian pelaburan yang berpusat di sekeliling kemapanan dan mercu tanda ini, akan terus membantu kami untuk mengukuhkan lagi usaha kami maju ke hadapan,” tambahnya.
BIBD AM, pengurus aset syariah penuh pertama Brunei, menyediakan penyelesaian pelaburan global Islam melalui kepakaran dalam, tempatan dan kerjasama strategik dengan firma-firma pelaburan global.