Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD anjur ceramah kesihatan mental

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan beberapa inisiatif untuk kakitangannya dan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan mental terutama pada saat negara berjuang menghadapi kesan COVID-19.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, bank berkenaan baru-baru ini telah mengadakan ceramah motivasi secara maya untuk orang ramai mengenai pentingnya kesihatan mental dan bagaimana mengurus kesihatan mental dengan lebih baik memandangkan keadaan pandemik semasa.

    Ceramah tersebut merangkumi pandangan menyeluruh mengenai kesihatan mental daripada perspektif perubatan dan Islam. Ia dirancang untuk menjadi siri yang akan dijalankan dalam beberapa minggu akan datang.

    Kenyataan menyatakan, ceramah serupa juga diadakan baru-baru ini untuk kakitangan BIBD secara berasingan.

    Di samping itu, tambah kenyataan, BIBD juga sedang bekerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan (HPC) untuk mempromosikan dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Brunei di tengah-tengah situasi COVID-19 dalam negara.

    BIBD telah mengadakan beberapa ceramah motivasi secara maya mengenai pentingnya kesihatan mental. – Gambar serahan BIBD

    Melalui kerjasama itu, BIBD dan HPC akan menghasilkan kandungan kesedaran dan pendidikan mengenai masalah kesihatan mental yang akan disebarkan melalui saluran media sosial BIBD dan Mind Your Mind kepunyaan HPC.

    Dalam industri yang pantas dan dinamik ini, BIBD memahami bahawa ada kalanya pekerja mungkin merasa tertekan dan berada di bawah tekanan emosi yang boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan di tempat kerja.

    Sehubungan itu, bank berkenaan telah membuat perjanjian dengan Jerudong Park Medical Centre (JPMC) untuk mengadakan perundingan pengurusan tekanan secara sukarela dengan ahli psikologi yang diperakui untuk kakitangan yang memerlukan bantuan dalam menguruskan tekanan mereka.

    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik berkata, “Sama seperti kesihatan fizikal, adalah penting untuk mengembangkan dan mempertahankan tabiat untuk menyokong kesihatan mental kita. Terutama dalam situasi wabak sekarang ini di mana tekanan, kegelisahan, ketakutan, dan kurangnya motivasi boleh mempengaruhi kita semua.

    Beliau menambah, BIBD selalu mempercayai dan menyokong pentingnya kesihatan mental sebagai sebahagian daripada maqasid syariahnya dan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 3 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan penduduk global dengan antara lainnya, menamatkan wabak dan penyakit berjangkit lain seperti COVID-19.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda