Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD beri amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa BIBD telah mengambil maklum mengenai video yang dimuat naik ke platfom media sosial yang mendakwa pemindahan dana tanpa kebenaran melibatkan akaun ahli keluarga.

    BIBD juga mengambil maklum bahawa aduan rasmi mengenai perkara berkenaan telah dibuat di Cawangan Serusop BIBD pada 1 April 2024.

    Video berkenaan direka dan dimuat-naik oleh seorang individu yang bukan pemilik akaun berkenaan.

    Tindakan berkenaan, yang dilakukan tanpa menunggu hasil siasatan rasmi, adalah dianggap sangat tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Selain itu, BIBD seperti mana institusi kewangan tempatan yang lain, di bawah undang-undang yang termaktub di bawah Perintah Perbankan 2006 dan Perintah Perbankan Islam 2008, tidak dibenarkan mendedahkan sebarang maklumat akaun atau butiran pemegang akaun kepada pihak ketiga.

    Pihak BIBD ingin menggesa orang ramai supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan. Diingatkan bahawa menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam (Bab 148), merangkumi hukuman denda dan penjara.

    Sehubungan itu, BIBD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang menyebarkan maklumat yang disahkan melalui kepada orang awam yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    BIBD komited untuk menyelesaikan sebarang aduan yang diterima secara bertanggungjawab dan telus, dalam batas rangka kerja undang-undang dan prosedur yang sedia ada.

    Pihak BIBD memohon kerjasama dan sokongan orang ramai untuk bertindak secara berhemah dan tidak menyumbang kepada penyebaran dakwaan yang tidak disahkan.

    Mana-mana pelanggan yang percaya kad atau akaun mereka telah terjejas dinasihati untuk membuat laporan kepada pihak Polis dan seterusnya melaporkan kepada BIBD dengan mengunjungi mana-mana cawangan terdekat atau mengemukakan aduan melalui e-mel, customer.resolution@bibd.com.bn.

    Usaha itu akan membolehkan BIBD menjalankan proses siasatan dalaman dan bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk memudahkan mana-mana siasatan yang dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda