Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD beri amaran waspada penipuan dalam talian

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Sempena musim percutian pada hujung tahun yang sedang berlangsung, orang ramai yang ingin mengembara dinasihatkan untuk lebih berhati-hati terhadap penipuan dalam talian, kerana mereka yang tidak bertanggungjawab seperti si penipu dan penjenayah siber mungkin cuba mengambil kesempatan daripada peningkatan aktiviti dalam talian pada masa ini.

    Sehubungan itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati terhadap penipuan laman web yang menyamar sebagai Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) dari Jabatan Imigresen Malaysia.

    Menurut kenyataan BIBD hari ini, laporan berkenaan menunjukkan bahawa individu-individu telah diarahkan ke laman web palsu yang menyamar sebagai platform rasmi MDAC.

    Laman web penipuan ini mungkin kelihatan sah pada pandangan pertama dengan meniru reka bentuk dan susun atur laman web rasmi kerajaan.

    Namun, tujuan sebenar mereka adalah untuk mencuri maklumat peribadi seperti butiran log masuk, maklumat pasport, dan juga meminta bayaran (sehingga AS$80) untuk perkhidmatan yang kononnya diperlukan seperti kad ketibaan.

    Mendapatkan kad ketibaan ini biasanya adalah percuma dan tidak memerlukan sebarang pembayaran.

    BIBD mengingatkan orang ramai bahawa penipuan serupa juga boleh berlaku merentas sempadan antarabangsa, dengan menyamar sebagai jabatan imigresen dari pelbagai negara.

    Sekiranya orang ramai mengesyaki bahawa diri mereka telah menjadi mangsa penipuan, sila laporkan kejadian tersebut kepada polis dan buat aduan rasmi kepada pihak berkuasa yang berkaitan, serta di mana-mana cawangan BIBD.

    BIBD terus komited untuk melindungi masyarakat dan menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap penipuan. BIBD akan terus meningkatkan kesedaran melalui pelbagai saluran bagi membantu orang ramai mengenal pasti dan mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

    Gambar serahan BIBD
    Gambar Canva

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda